Saturday 30 May 2015

Cabaran dalam Kehidupan

Assalamu'alaikum wbt.

Apa khabar?

Semoga sentiasa sihat dan ceria di samping orang tersayang. Sudah agak lama juga tidak meninggalkan catatan dalam blog ni. Ia akan terisi apabila fikiran juga berisi. Cumanya, isi tu hanya berkisar kepada pengalaman sendiri. Ada yang boleh dikongsi sebagai kebaikan bersama, ada pula yang mungkin hanya disimpan sebagai koleksi peribadi, buat panduan pada masa akan datang.

Kali ni, penceritaan berkisar kepada kesusahan dalam hidup yang dilalui oleh hampir setiap orang yang masih terus melangkah demi sebuah kehidupan.

Agak terkejut, 2 minggu lepas apabila ada seorang insan, pelajar di sebuah universiti, secara di sebalik tabir meluahkan kesusahan hidup yang dia alami. Kesusahan berupa wang yang tidak cukup untuk membayar yuran pengajian sedangkan dia membuat pinjaman PTPTN. Saya sendiri membuat pinjaman PTPTN dan masih cukup untuk sepanjang semester.

Sudah puas katanya mencari jalan untuk mendapatkan wang dengan mudah lalu pada akhirnya memilih jalan untuk 'menjual diri'. Ketika membaca kenyataan itu, terbit rasa geram kepada insan tersebut dan dalam masa yang sama simpati terhadap dirinya. Manakan tidak, masih banyak kerja yang boleh dilakukan untuk mendapatkan duit selain kerja 'terkutuk' tersebut. Tetapi mungkin dia amat terdesak ketika itu. Didorong oleh perasaan yang sukar untuk dinyatakan membuat dia memilih jalan sedemikian.

Serasanya, sudah ramai yang menghulur bantuan kepadanya. Saya yakin, sudah ada pertolongan yang dia terima dan yang pasti, tentu ada insan yang 'menangkap' tangannya agar dia tidak terjatuh ke dalam lembah kegelapan. Ya, saya yakin, ada yang cuba menyelamatkannya tetapi, biarlah ia menjadi urusan mereka yang terlibat.

Tiba2 rasa terpanggil untuk berkongsi kisah yang saya rasa menginsipirasikan, buat diri saya sendiri.

Guru Sekolah Menengah

Kisah 01-

Satu petang, guru Bahasa Melayu saya di sekolah menengah berkongsi pengalaman sewaktu beliau masih kanak-kanak, bersekolah seperti kanak-kanak lain. Beliau datang dari keluarga yang susah, tapi tetap rajin datang ke sekolah.

Seperti kebiasaannya, setiap waktu rehat adalah masa untuk makan. Beliau selalu membawa bekal Mee Bungkus yang berharga lebih kurang 20-30 sen ketika itu. Kadang2 makan sendiri, kadang2 berkongsi dengan kawan2. Ada seorang kawan beliau, datang dari keluarga yang berada. Setiap hari makan nasi campur, kadang2 bawa ayam goreng. Berbanding beliau dan rakan2nya yang sekadar makan Mee kosong.

Dan yang menariknya, Mee Kosong tu diletakkan lada yang banyak. Kami dalam kelas ketika itu kehairanan. Macamana mau makan mee yang pedas betul (sangat) ? Beliau ketawa kemudian menyambung ceritanya.

Mee tu sengaja diletak lada yang banyak supaya dimakan perlahan-lahan, maksudnya lambat la sikit habis mee tu. Sekurang2nya, bolehlah tampung rasa lapar tu sampai pulang dari sekolah. Kawan2 yang lain terus menyambung ketawa.

"Sekarang, saya jadi cikgu, tapi kawan cikgu yang selalu makan sedap masa sekolah dulu tu hanya jadi pekerja kontrak. Ada sekali cikgu jumpa dia, terus dia cakap; "ndak sangka, jadi cikgu sudah kau ya". Cikgu rasa kesian juga sebab dia dulu baik, kongsi makanan dengan cikgu. Tapi dia tidak berusaha sebab dia rasa dia senang, ada harta. Sekarang, sudah habis, paksa kerja la jadi apa pun." *Lebih kurang begini ayat beliau.

Kisah 02-

Masa tu tingkatan 2. Sabjek Sejarah mewajibkan setiap orang membuat kajian tentang latar belakang guru di sekolah. Mula2 ada la satu dua cikgu pilihan saya tapi sudah diambil kawan. Terus teringat sama cikgu disiplin yang garang tapi lawak (hahaha). Tiba2 berminat untuk 'mengkaji' (mengenal) beliau dengan lebih dekat. Saya nyatakan kepada beliau hasrat di hati, kemudian beliau bersetuju.

Saya mula menulis, sampai kepada cerita zaman persekolahan beliau. Beliau pun datang dari keluarga yang susah, macam guru2 yang lain. Setiap kali pulang dari sekolah, beliau akan ke pasar menjadi 'tukang sorong barang' dan jual bahai (plastik) yang mana pekerjaan itu hanya dilakukan oleh kanak-kanak PATI di Sabah sekarang ni.

Tersentap, kesungguhan beliau untuk bekerja demi mendapatkan wang sebagai menampung belanja sekolah termasuk membeli buku2.

Kisah 03-

Bersembang dengan guru2 sekolah sewaktu menjadi guru ganti dulu. Seorang cikgu menceritakan zaman kanak2nya ke sekolah bersama adik beradik berjalan kaki berulang alik sejauh 10 batu, merentas jalan berlumpur kalau hujan.

Ah! 10 batu!
________________________________________

Kisah yang terimbas di dalam ingatan ini membuatkan saya geram dengan insan yang saya nyatakan di permulaan catatan ini. Masakan tidak? 3 kisah di atas melibatkan kanak-kanak yang masih tidak kenal erti sebenar kehidupan dunia yang penuh dugaan berbanding dengan dia yang sudah berusia 20-an, yang sudah kenal dunia.

Mana patut insan sedewasa dia menyerah dengan kepayahan yang dia lalui sedangkan ada anak kecil yang sudah menanggung bebanan yang tidak sepatutnya dia pikul!

Namun demikian, saya mulai menyedari bahawa tidak semua orang punya kekuatan seperti orang lain. Beras kampit seberat 10kg, yang mengangkatnya punya cara masing2 dan ada pula yang langsung tidak mampu mengangkatnya.

Iya, itulah dia kenyataannya.

Datuk Sebagai Sumber Inspirasi

Antara insan yang banyak memberikan inspirasi dalam kehidupan ini adalah Almarhum datuk saya sendiri. Tempoh yang begitu lama saya tinggal bersama beliau memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk merasai kepayahan perjalanan hidup beliau. Mengenali beliau telah merubah cara saya memandang dunia ini.

Beliau sanggup berjalan kaki ke tempat kerja semata-mata untuk memberikan tambang tersebut kepada saya untuk ke sekolah. Suatu kisah yang cukup menyayat hati saya sendiri.

Setelah berpindah rumah buat yang terakhir kalinya kami tinggal bersama (sebelum beliau meninggal dunia), beliau mula membawa basikal untuk pergi dan pulang dari tempat kerja. Kalau berjalan kaki hanya memakan masa dalam 30-40 minit. Sesuatu yang menjadi kebiasaan beliau.

Kadang kala pulang lewat malam, hanya untuk mendapat belanja. Itulah beliau.

Sekali tu, pernah beliau nyatakan kepada saya, andai saya dapat sambung pelajaran ke tingkatan 6, beliau akan terus menampung perbelanjaan saya. Ketika itu saya agak 'sombong', yakin akan masuk ke Matrikulasi.

Setelah beliau meninggal dunia, saya dapat tawaran masu ke Tingkatan 6 manakala permohonan Matrik tidak berjaya sebab m/p Sains hanya dapat gred D7.

Mulai dari situ, saya mencari kerja sampingan untuk menampung belanja. Dapat juga la kerja di Pizza Hut Giant Sandakan. Best kerja sana. Dapat 'staff meal' yang ketika itu complete set macam Meal Set A sekarang ni. Yang lagi bestnya, bila dapat syif malam, restoran tutup jam 10pm, siap kemas jam 12pm. Pengangkutan tiada. Jadi, jalan kaki ramai2 dengan staf yang lain. Dalam 5 batu ke rumah saya dan 1 batu ke rumah staf.

Saya memilih untuk terus pulang ke rumah, sebab pagi nanti perlu ke sekolah. Dalam perjalanan itu, saya hayati setiap langkah. Mungkin inilah yang almarhum datuk saya lalui dahulu. Iya, sangat lain perasaannya. Berjalan keseorangan ditemani bulan dan bintang. Nikmat yang tidak mungkin akan saya lalui lagi.

Alhamdulillah, duit gaji pertama saya dapat saya guna untuk beli basikal. Mudah untuk saya pergi dan pulang ke rumah. Basikal itu jugalah membuat saya teringat kepada datuk saya.

Sampaikan ada satu ketika, saya tidak menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran. Cukup sekadar menjadi pengawal keselamatan yang baik. Melalui kehidupan ini seadanya.

Basikal yang telah di'modified' setelah berusia setahun

Tanpa beliau, saya tidak kenal erti cabaran dalam kehidupan. Bila dibandingkan dengan insan yang saya nyatakan di atas, mungkin dia tidak pernah melalui kesusahan yang orang lain lalui yang mana kesusahan itulah sepatutnya menjadi penguat kepada diri.

Sekadar berkongsi pengalaman yang sekadarnya.

Harap2, apa jua yang dihadapi selepas ini, hadapilah ia dengan tenang dan bijaksana. Tidak ada jalan mudah untuk mencapa sesuatu melainkan ia membawa kepada kebinasaan. Dalam kegeraman yang saya rasakan, saya berterima kasih kepada insan tersebut kerana tanpa kisah yang dia luahkan itu, tiada rasanya kemahuan untuk membuat catatan ini.

Apapun, Teruskan Melangkah!

Dunia ini penuh dengan cabaran yang sedia menanti di hadapan. Hanya sahaja bergantung kepada kita sejauh mana kekuatan melaluinya.

Wassalam.

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts