Friday, 15 June 2012

Bukan Aku...

 
 
Mengingati zaman kanak-kanak, masih berusia 9 tahun ketika itu, masih lagi nakal tapi rajin ke masjid setiap Maghrib sehingga Isyak. Kerja di masjid dua saja, kalau bukan mengaji, bermain lari-lari dalam masjid. hahahaha. Yang paling best kalau malam Jumaat. Memang sedia bakul plastik dalam poket, untuk bawa balik makanan lepas bacaan Yaasin. Lagi best kalau bulan Ramadhan. Tiap2 malam bawa makanan balik ke rumah tapi puasanya tidak. hahahaha.

Disebabkan rajin ke masjid, saya bertemu dan berkenalan dengan seorang abang yang saya kenali sebagai Abang Awang yang kemudiannya mengambil saya jadi adik angkat. Jumpa lagi dengan dua orang kakak yang baik hati. Sorang namanya Kak Izan dan sorang lagi namanya kak Tajminah. Ketiga2 mereka ni merupakan watak penting dalam hidup saya suatu ketika dahulu. Ketika ini juga uisa mereka dalam lingkungan 20-an.

Saya sayang sangat dengan dua orang kakak ni sebab kadang-kadang kalau ustaz xda, merekalah yang ajar saya mengaji dan selalu ajak keluar jalan-jalan dengan adik2 dorang lagi-lagi masa tu saya berkawan dengan adik-adik kakak dua orang ni. Abang Awang pula selalu ajak saya keluar makan dan ke rumahnya jalan-jalan.

Memang beruntung la saya masa tu. Sehinggakan saya pernah cakap, "kak Taj, bole ka kakak tunggu saya sampai besar? Bole saya kawin dengan kakak." Kak Taj hanya tersenyum...

Suka sangat saya pasangkan Abang Awang dengan Kak Izan sebab nampak macam serasi tapi biasala, masih budak-budak lagi kan... Tapi ndak sangka la, hal ni menjadi titik tolak sebuah kisah paling pahit dalam hidup saya.

Pernah suatu ketika nenek saya datang ke masjid dengan garangnya panggil saya dan tanya, "siapa yang ajar si Dani mengaji ?!" Kak Izan datang kemudian ajak mak duduk berbincang. Nasibla time tu xda orang dalam masjid. Ada pula CNN dan TV3 melapor ke mak saya yang saya kuat bermain dalam masjid. Kedapatan suda. Siap kena tampar lagi depan kak Izan tapi dengan baik kak Izan tenangkan mak saya.

Dipendekkan cerita, maka pulanglah mak saya ke rumah kemudian saya ditenangkan oleh kak Izan dan kak Taj sehingga saya kembali senyum. Sebab itu saya sayang sangat dengan mereka tapi x sangka, ada orang yang tidak senang melihat kebahagiaan itu...
 
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Setiap kali stay dalam masjid, Abang Awang selalu suruh saya nyanyi lagu Kasih-Kekasih dari kumpulan nasyid In-Team. Mungkin sebab tu saya rasa Abang Awang memang ada perasaan dengan Kak Izan.

Kehadiran seorang 'kawan' yang agak terkenal di kampung kerana bapanya merupakan 'Orang Kuat' dalam kampung tu pada mulanya tidak menjadi ancaman bagi saya. Masih boleh ketawa bersama-sama, tapi saya menyedari satu perkara sepertinya dia cuba mengambil tempat saya di hati dua orang kakak dan Abang Awang tu, (macam dalam wayang pula tau...hahaha).

Apabila tibanya Hari Raya, tiada orang yang akan berikan saya kad raya kecuali mereka bertiga, dengan tertulis di dalamnya kata-kata semangat untuk saya. Saya bahagia ketika itu. Kebahagiaan itu berlanjutan sehingga 2 tahun lamanya. Perkenalan itu membuatkan saya bertambah semangat melalui kehidupan yang serba mencabar di kampung tersebut lagi-lagi apabila saya dipinggirkan oleh kawan-kawan kerana saya selalu lewat bayar yuran dan selalu meminta makanan mereka. Itulah perkara yang buat saya malu tapi saya x pandai malu-malu juga, hahaha.

Pernah sekali masa bulan puasa, time tu saya jalan-jalan di sekitar masjid. Tiba-tiba Abang Awang lalu naik motor, nampak saya terus dia berhenti. Sebelum dia sampai, sempat lagi saya buang aiskrim ke dalam semak rumput. Baru mau makan... Dia ajak berbuka di masjid, saya kata tengoklah nanti. Lepas jak Abang Awang jalan, terus saya bongkar semak tu, cari aiskrim yang tadi. Hahaha, nasib baik masih keras lagi, masih bole makan. Balik rumah terus dan petang tu saya x join dorang berbuka...
 
Datuk saya bagitau, kami mau pindah ke Sandakan sebab bapa pindah kerja. Rasa macam masa semakin pendek untuk bersama-sama dengan mereka. Melalui kehidupan yang penuh bahagia... Dan saat2 akhir inilah peristiwa hitam menyelubungi hidup saya... Segalanya berubah.
 
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Hanya tinggal 2 minggu lagi berada di kampung tu. Walaupun baru masuk 4 tahun menetap di situ, tapi banyak kenangan yang telah tercipta. Apatah lagi kenangan yang paling banyak tercipta di Masjid Assalam Kg. Contoh. Sedih rasa hendak meninggalkan kampung...
 
Suatu petang, seperti biasa, saya datang ke masjid sebelum maghrib sebab selalunya kalau pacik2 belum datang, saya akan jadi bilal untuk Maghrib or Isyak. Tapi, petang tu agak berlainan dari yang sebelum2nya. Naluri saya pada ketika itu masih belum dapat meneka apa yang akan berlaku. Saya lihat Abang Awang masuk ke dalam masjid dan terus berlalu menuju saf paling hadapan. Biasanya Abang Awang akan singgah dan kadang-kala sempat lagi bergurau dengan saya. Tapi kali ini lain sedikit. Seusai solat maghrib, seperti biasa, saya mendekati Abang Awang dan kawan-kawan yang lain tetapi mereka kelihatan agak dingin dengan saya terutamanya Abang Awang. Tapi saya xpeduli, saya buat macam biasa sahaja.

"Betul ka kau ada cakap Dani?"

"Cakap apa bang?" Hairan saya...

"Kau cakap Abang dengan Kak Izan tidur dalam satu bilik"

Dengan nada yang geram saya teriak, "manada saya cakap!"

"Siapa yang cakap tu bang?!"

"C Alif yang cakap, kau cakap sama dia haritu"

"Kak Izan kecewa dengan kau Dani." Adik Kak Izan, Safwan menyambung bicara.

Tiba-tiba air mata saya mengalir... Tergamak si Alif fitnah saya sedemikian rupa. Malam tu bila pacik-pacik tanya saya, saya xtau mau jawab apa, hanya mampu menangis dan terus menangis ! Kerana tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada mereka dan kenapa mereka tidak siasat hal yang sebenarnya, buat saya sedih sangat-sangat...

Keesokan harinya, saya bergegas ke masjid. Siap sahaja solat Maghrib, saya terus ke tempat solat perempuan, menanti Kak Izan seperti selalunya untuk ajar saya mengaji. Hati saya sedikit berbunga apabila melihat Kak Izan menuju ke arah saya tapi kelihatan wajahnya ketika itu amat dingin dan tegas. Tanpa berbicara sedikitpun dan tanpa memandang wajah saya, Kak Izan mengeluarkan sampul berisi surat di dalamnya, kemudian terus berlalu pergi meninggalkan saya di tangga...sendirian...

Saya duduk dan terus membaca surat tersebut. Setiap bait kata-kata yang tercatat di dalamnya saya baca satu persatu sehingga ke saat akhir saya menangis lagi... Ternyata Kak Izan juga percaya bahawa fitnah itu adalah benar. Memang betul la sangkaan saya selama ini bahawa manusia yang bergelar Alif bin Tuteh itu adalah penhancur kebahagiaan saya selama ini!

Saya bertemu dengan Kak Taj, satu-satunya harapan terakhir saya tetapi Kak Taj juga x tahu bagaimana hendak menyatakan pendapatnya kepada saya... Hanya tinggal 1 minggu sahaja lagi kewujudan saya di kampung itu dan ternyata saat-saat akhir adalah yang paling hitam dalam sejarah hidup saya. Sehinggakan ketika itu hendak menuju ke masjid pun terlalu berat langkah untuk saya buka...

Kiranya, kali terakhir saya datang ke masjid, tiada kelihatan kelibat Kak Izan... Demikian juga Abang Awang... Dan itulah malam terakhir saya berada di bumi Kg. Contoh...
 
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Pengalaman ini masih terpahat kukuh dalam memori sehingga ke saat saya menceritakan kisah ini semula. Sudah lebih 11 tahun ia berlalu namun tidak dapat saya lupakan begitu sahaja.

Apabila saya dihina kerana meminta makanan orang lain, saya tidak ambil peduli. Apabila saya dicerca kerana menjadi penyelongkar tong sampah, saya tidak pernah berasa malu, kerana itulah realiti kehidupan saya dahulu kala. Cuma, apabila saya difitnah sedemikian rupa, saya teramat sedih dan pilu...

Bagaimana orang yang lebih dewasa daripada saya dengan mudah mempercayai fitnah tersebut dan tanpa memberikan sedikitpun kepercayaan terhadap saya sedangkan pada masa sepanjang saya hidup di sana, merekalah kawan-kawan dan keluarga bagi saya... Menjadilah saya manusia yang teraniaya... Sedih dan kecewa sangat-sangat apabila memikirkan semula kisah pahit ini.

Cumanya, yang paling saya kecewa terhadap diri saya ialah saya hanya tahu menangis dan menangis sahaja ketika itu. Tidak mampu memberi penjelasan yang terbaik...

Dua perkara penting yang saya pelajari daripada pengalaman ini adalah:

1. Setiap berita fitnah yang kita terima perlulah disiasat terlebih dahulu dengan sebaik mungkin sekalipun yang menyampaikan itu adalah kanak-kanak yang lebih muda usianya daripada kita. Boleh jadi berita itu benar dan boleh jadi juga ianya palsu belaka. Terutamanya bagi insan yang bergelar kaum hawa, muslimat, yang banyak terpengaruh dengan emosi...

2. Jodoh itu memang ketentuan yang pasti daripada-Nya.

Sekalipun kelihatan seperti Abang dan Kakak yang saya maksudkan dalam kisah ini boleh dikatakan serasi dan secocok, namun jodoh itu bukan milik kita. Dengar khabar, Kak Izan sudah pun mendirikan rumahtangga dengan jodohnya orang Kedah dan telah dikurniakan cahaya mata manakala Abang Awang pula baru sahaja menamatkan zaman bujangnya awal tahun ini. Memang, ketentuan yang tersangat indah. Kak Taj pun telah menamatkan usia bujangnya dan kini dikurniakan 2 orang cahaya mata.

Sehingga ke saat ini, saya masih berharap agar suatu masa nanti, saya berpeluang untuk bertemu dengan kakak yang banyak memberikan saya inspirasi sepanjang kehidupan saya di kk dahulu. Bertemu dan menyatakan kepadanya bahawa apa yang berlaku 11tahun yang lalu semuanya adalah kedustaan semata-mata. Abang Awang telah pun saya temui dan dia sudah tidak kisah dengan peristiwa itu. Alhamdulillah, saya diberi kesempatan bertemu dengan Abang Awang sebelum berangkat ke UIA.

Saya hanya mampu mendoakan kebahagiaan buat mereka. Sudah 11 tahun saya membawa hati yang lara sekalipun sehingga kini masih berbekas lukanya. Andai tidak bertemu di dunia, biarlah mahkamah Akhirat yang membongkar segala rahsia dan kebenaran...

Insya Allah ~

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts