Thursday, 23 May 2013

Melepaskan - Langkah Terbaik Menjaga Hati

Salah satu sebab mengapa kadang kala kita tidak dapat menerima kenyataan bahawa sesuatu yang kita inginkan bukan menjadi milik kita adalah kerana sikap kita sendiri yang tidak ingin MELEPASKAN.

Apabila kemahuan kita tidak tercapai, maka diri sendiri juga yang merasa sakitnya bukan? Apa salahnya melepaskan segala rasa yang membuatkan kita berada dalam keresahan, kerisauan dan ketakutan untuk berhadapan dengan kenyataan?

Memang payah sebenarnya untuk melepaskan sesuatu yang amat kita inginkan, berkenan di hati, tetapi semua itu akan kita pelajari melalui guru yang bernama PENGALAMAN.

Pohon Yang Rendang



Ibarat sebuah pohon yang telah tertanam di halaman rumah kita, disemai dengan benih sehingga ia tumbuh subur dan lebat rendang daun rantingnya. Dengan penuh perhatian kita menjaga, dengan sepenuh hati tiada berbelah bahagi. Namun, dengan tidak semena-mena, angin ribut bertiup kencang, hingga mengakibatkan pohon yang lebat itu tumbang dan tercabut segala akar yang tertanam di dasar tanah yang dalam.

Melihat keadaan tanah yang telah rosak, terbongkar dek tercabut akar pohon tersebut, maka kita mulai dilema, membayangkan sama ada ia mampu pulih seperti sediakala ataupun ia akan musnah selamanya.

Eyalah, pohon yang musnah, boleh ditanam pohon yang baharu. Tapi kalau tanah yang rosak, mana mungkin boleh menanam pohon yang lain sekalipun bakanya adalah yang terbaik. Maka, yang perlu dijaga adalah tanah tersebut.

Hati Ibarat Tanah



Demikian juga hati kita yang boleh diibaratkan sebagai tanah, tempat menyemai dan membaja, pohon itu pula adalah sesuatu yang amat kita sukakan dan telah berbekas di dalam hati kita sejak sekian lama. Tiba-tiba datang ujian yang mengakibatkan kita merasa kesakitan dek kerana sesuatu yang amat kita sukakan itu tidak lagi bersama kita. Dengan erti kata lain, kita akan kehilangannya.

Sakit bukan? Apabila hati kita dikoyak rabak sedemikian rupa? Tapi, daripada peristiwa itulah kita perlu belajar bahawa dalam apa jua keadaan, kita MESTI bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk juga kenyataan yang menyakitkan.

Harapan tidak kesampaian, Mimpi hanya sekadar Mimpi, semua itu sudah lumrah kehidupan. Mimpi tidak semestinya menjadi realiti.

Tidak salah menyimpan harapan namun kita kena ingat, sebarang kemungkinan bakal berlaku sama ada yang kita sukai mahupun sebaliknya.

Oleh itu, apa jua yang kita sukai, berkenan di hati, jangan kita tanam ia sehingga ke dasar hati yang terdalam kerana suatu masa, bila ia pergi, payah untuk menahan sakitnya tatkala ia tercabut daripada dasar hati kita sendiri. Luka yang berdarah, masih mampu kita tahan. Tetapi luka di dalam hati, hanya jiwa dan raga yang merasai...

Lepaskan segala rasa yang membelenggu diri kita sendiri dengan menerima kenyataan bahawa setiap yang datang pasti akan pergi sekalipun yang datang itu, cukup meyakinkan kita bahawa ia akan bersama kita selamanya. Kita tidak mampu merencanakan perkara yang bakal kita lalui hanya dengan kudrat yang sangat tidak berdaya.

Bukankah kita hanya manusia biasa yang perlu pasrah kepada ketentuan-Nya kerana kita sebagai manusia biasa mana mungkin mengetahui sesuatu yang tidak kita ketahui?

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْ‌هٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَ‌هُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ‌ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." 

(Al-Baqarah 2 : 216)

Harapan Ibarat Air Di Dalam Gelas

Teringat pesanan seorang ustazah yang tidak pernah jemu memberi nasihat kepada saya;

"Kita kena ingat, bila kita minum air, kita jangan habiskan semua sekali. Tinggalkan separuh... Demikian juga apabila kita menyimpan harapan terhadap sesuatu. Jangan kita tumpahkan sehabisnya kepada yang kita harapkan kerana bila ia tidak kesampaian, kita masih punya kekuatan untuk bangkit semula. Sepertimana air yang masih tinggal separuh di dalam cawan tersebut..."


Seandainya diamati pesanan itu sedalam-dalamnya, ternyata ia meninggalkan suatu khazanah buat kita, iaitu PANDUAN.

~ ~ ~ ~ ~ # # # ~ ~ ~ ~ ~

Lepaskanlah rasa Memiliki
Agar Mudah Menerima Realiti

Yang Datang Pasti Akan Pergi
Tanpa Mampu Kita Sedari

Serahkan Segalanya Kepada Ilahi
Itulah Yang Terbaik Buat Diri...

Sunday, 19 May 2013

Bercakap Urusan Dunia di Dalam Masjid

Bercakap urusan dunia di dalam masjid:

"Siapa yang bercakap tentang urusan dunia di dalam masjid, Allah akan menghapuskan amalannya empat puluh tahun."

As-Saghani berkata hadis ini adalah hadis palsu. Pendapat ini dipersetujui oleh 'Ali al-Qari dalam bukunya 'al-Asrar al-Marfu'ah fi Akhbar al-Maudhu'ah'

Larangan secara khusus oleh Rasulullah yang berkaitan dengan masjid adalah:
 

1. Larangan menjalankan urusan jual beli di dalam masjid sebagaimana maksud hadith Rasulullah:

"Jika kamu melihat seseorang berniaga di dalam masjid, hendaklah kamu ucapkan "Semoga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu"." (Riwayat at-Tirmidzi)

2. Larangan membuat iklan untuk mencari barang yang hilang sebagaimana maksud hadith Rasulullah:

"Siapa yang mendengar seseorang membuat pengumuman untuk mencari barang yang hilang di dalam masjid, maka ucapkanlah "Semoga Allah tidak mengembalikan barang tersebut kepada kamu". Sesungguhnya masjid bukan dibina untuk urusan ini." (Riwayat Muslim)

Namun begitu, keharusan untuk bercakap soal keduniaan di dalam masjid tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia masih terikat dengan adab-adab di dalam masjid.

Wallahu'alam.

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts