Monday, 12 December 2016

Coretan Buat Bakal Pendidik di Negeriku

Seandainya kemerdekaan sesebuah negara itu diperoleh daripada pengorbanan perajurit yang berjuang menentang penjajah, kemerdekaan minda pula dikecapi melalui jasa guru yang seringkali diibaratkan sebagai lilin yang membakar dirinya. Coretan ini khusus ku tujukan kepada rakan-rakan sezaman denganku yang bakal bergelar pendidik nanti.

Guru sebagai Pendidik 

Mutakhir ini, kita sering dibayangi persepsi yang menyatakan peranan seorang guru bukanlah sebagai pendidik tetapi hanyalah berupa kerjaya selepas mendapatkan segulung ijazah di universiti atas desakan masa ini. Perguruan adalah profesyen yang menguntungkan dan menjamin masa hadapan seseorang berbanding dengan kerjaya dalam bidang lain. 

Berbeza dengan guru yang telah sekian lama berkhidmat, bukan sahaja sebagai pengajar, malah sebagai pendidik kepada anak bangsa tanpa mengenal erti penat lelah dan jemu. Mereka dahulunya pernah melalui zaman kesukaran hidup menanamkan azam untuk menyedarkan anak didik mereka akan peri pentingnya ilmu pengetahuan yang akan merubah kehidupan akan datang. Tapi kini, peranan mendidik itu dibebani pula dengan kerja-kerja pengkeranian seiring dengan arus kemodenan kononnya hinggakan para guru terpaksa mengorbankan masa rehat mereka bersama keluarga demi menyiapkan segala tugasan. 

Namun demikian janganlah kalian salah faham. Bukan bermakna rakan-rakan sezaman denganku yang bakal menjadi guru menyandarkan keuntungan sebagai matlamat, cuma aku ingin menyatakan kerisauan yang sekian lama ku alami. Aku percaya, niat kalian hanya untuk mendidik, tidak selain itu.

Keadaan Sekolah di Negeriku 

Wahai bakal pendidik, 

Ingin sekali aku ceritakan tentang negeriku yang mungkin akan kalian kunjungi nanti. Negeriku ini kaya dengan hasil bumi. Ada minyak sawit, petroleum, kayu balak dan bermacam sumber semulajadi tetapi hakikatnya negeri miskin, duduknya selepas Kelantan. 

Keadaan sekolahnya juga dhaif terutamanya di kawasan pedalaman sehingga ku rasakan seakan-akan berada di Afghanistan. Tetapi, negeriku ini tidak ada perang, yang ada cuma perang antara politikus untuk mendapatkan kuasa. Aku tidak tahu apa yang mereka fikirkan dengan anak-anak kecil di pedalaman ini. 

Ada sekolah di pedalaman tanpa kemudahan asas, tidak ada air bersih, tidak ada elektrik, jalan berlumpur ke sekolah, jambatan rosak dan ada yang sudah terputus, malahan bot pun tidak ada untuk menyeberangi sungai. 

Mengajar di pedalaman negeri ini jauh berbeza keadaannya dengan sekolah di ibu kota dan bandar-bandar besar yang dilengkapi infrastruktur canggih dan moden. Tahukah kalian, ada sekolah yang tidak berdinding di pedalaman negeriku ini? Ia berpunca daripada kebakaran yang memusnahkan sekolah-sekolah tersebut yang sebahagiannya diperbuat daripada papan seperti di SK Tampasak Papar, SK Gadong Beaufort, SK Simpangan Kota Marudu, SK Penimbawan Tuaran dan SK Pekan Kiulu pada tahun lalu. 
Salah sebuah sekolah tanpa dinding di Tuaran, Sabah 

Bermakna, sudah setahun anak-anak negeri ini belajar tanpa dinding dan ada yang belajar di bawah khemah. Kalau bukan kerana viralnya perkara ini di media arus perdana, mungkin bertahun-tahun jugalah anak-anak negeri ini duduk di dalam kelas tidak berdinding. Dan mungkin menteri-menteri negeri juga terus lena dengan tidur mereka sedangkan murid-murid di sekolah itu ada yang pengsan kerana kepanasan belajar di bawah kelas tanpa kipas. 

Keadaan ini mengingatkanku kepada program kelab universiti yang aku sertai beberapa tahun lalu di Pulau Sanghai Sandakan. Keadaan sekolah di pulau itu boleh dikatakan dhaif tanpa kelengkapan yang secukupnya. Barangan elektrik hanya bergantung kepada jenerator untuk berfungsi. Air tadahan hujan menjadi sumber bekalan bukan sahaja untuk sekolah, tetapi untuk seluruh pulau tersebut. 

Wahai bakal pendidik, 

Ketahuilah, sebahagian anak-anak yang tinggal di pedalaman dan kawasan yang serba dhaif ini mulai berputus asa kerana kesusahan yang mereka alami mendesak mereka untuk berkerja mendapatkan wang demi meneruskan kehidupan. Penduduk di Pulau Sanghai sendiri mengakui perkara ini dan menganggap pendidikan tidak mampu merubah kehidupan mereka melainkan hanya membawa kesusahan. Maka berakhirlah kehidupan generasi pelapis ini sebagai nelayan sepenuh masa yang merasakan menjual ikan di pasar-pasar itu lebih lumayan dengan pendapatan bulanan mencecah RM900 berbanding dengan belajar di sekolah. 

Demikian juga halnya dengan anak-anak di kawasan pedalaman yang tidak ada pendidikan, akhirnya menjadi kuli di negeri sendiri dengan pendapatan sekadar ‘cukup makan’. Aku kira, bagaimanalah mereka melalui kepayahan ini dengan meningkatnya harga barangan setelah dilaksanakan GST. 

Bagaimana hendak menjadi majikan kalau huruf dan angka pun tidak kenal, tidak pernah ke sekolah bahkan ada yang tidak tahu apa itu sekolah. Yang mereka tahu hanya kerja untuk hidup.

Harapan buat bakal Pendidik 

Tatkala anak-anak muda di kota raya dibelenggu masalah keruntuhan akhlak dan terhakisnya nilai moral akibat terdedah dengan unsur-unsur negatif dari luar, anak-anak muda di kawasan pedalaman pula dibebani dengan kesukaran mendapatkan ilmu pengetahuan. 

Sepanjang pengalaman berada di pulau Sanghai Sandakan dan di beberapa tempat di kawasan pedalaman yang pernah aku lawati, aku melihat anak-anak ini punya kesungguhan untuk terus belajar. Ada yang bercita-cita untuk menjadi jurutera, ada pula yang berimpian untuk menjadi doktor supaya dapat merawat orang kampungnya, ada pula yang sudah menyimpan harapan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. 

Sebagaimana besarnya kesukaran yang dilalui oleh mereka, besarlah juga harapan ini kepada bakal guru untuk mendidik anak-anak negeri ini sehingga menjadi orang berguna. Aku ingin melihat, anak-anak yang hidup di kawasan pedalaman dan terpinggir ini nanti akan menjadi generasi pelapis kepimpinan negara. 

Jangan dimatikan cita-cita mereka hanya kerana mereka ini anak kampung yang tidak tahu apa itu televisyen, komputer, bahkan telefon pintar. Jiwa mereka masih suci untuk dibentuk menjadi insan berguna yang kelak, akan memberi bakti kepada masyarakat dan negara. 

Ketahuilah, besarnya peranan kalian wahai bakal pendidik dalam membentuk anak-anak negeri ini menjadi insan yang berkebolehan sebagaimana aku dan rakan-rakanku diajar dan dididik oleh guru kami sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. 

Akhir kata, banyak sekali yang ingin aku ceritakan tentang kedhaifan negeriku tetapi cukuplah sekadar ini, biarlah kalian merasainya sendiri apabila kalian ditugaskan untuk berkhidmat ke pedalaman negeriku nanti. 

Sekian, 

*Diterbitkan oleh TMI pada 15-April-2015

Pelaksanaan GST dan kesan terhadap penduduk Sandakan

Daerah Sandakan 

Sandakan merupakan daerah kedua terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dengan kepadatan penduduk berjumlah 396 290 orang yang mewakili 11% keseluruhan penduduk negeri Sabah. 

Tiga tahun yang lepas, penulis pernah berkerja sebagai Pengawal Keselamatan di Klinik Kesihatan Sandakan (Klinik Pesakit Luar) selepas menamatkan pembelajaran Tingkatan Enam pada tahun 2011. Gaji bulanan yang penulis perolehi selama sebulan hanya RM 330 sahaja di bawah sebuah syarikat kawalan keselamatan berskala kecil tanpa sebarang kenaikan kecuali berkerja Lebih Masa (OT). 

Kemudian penulis berpindah ke syarikat kawalan keselamatan baharu yang telah mendapat tender KKS untuk penggal yang baharu dengan gaji bulanan sebanyak RM1,000+. Jika ditolak dengan KWSP dan yuran Pakaian Seragam untuk syarikat baharu tersebut maka gaji bersih yang diperoleh adalah sebanyak RM800+. 

Perbezaan yang ketara terhadap jumlah gaji bagi kedua-dua syarikat adalah disebabkan oleh sistem gaji minimum sebanyak RM800 kepada pengawal keselamatan masih belum dilaksanakan di Sabah ketika itu. Setelah pelaksanaan tersebut, barulah ada perubahan gaji bagi pengawal keselamatan di Sandakan. 

Namun demikian, tidak semua syarikat kawalan keselamatan melaksanakan sistem gaji baharu walaupun telah diarahkan oleh pihak berkuasa kerana kebanyakan tender yang dibuka untuk perkhidmatan kawalan keselamatan adalah dalam skala yang kecil dan hanya syarikat kawalan keselamatan yang berskala kecil sahaja yang akan mendapatkan tender tersebut termasuklah syarikat Kawalan Keselamatan EON dengan gaji bersih bulanan sebanyak RM450 ketika itu. 

Keadaan tersebut menjadi penanda aras bahawa masih ramai penduduk Sandakan yang berpendapatan rendah di bawah RM800 sebulan malah ada yang lebih rendah daripada itu sehingga mencapai angka RM300. Tetapi agak menghairankan kerana kos sara hidup di Sandakan agak tinggi sedangkan taraf hidup penduduknya masih berada pada paras yang rendah dan sederhana. Kos sebuah rumah di Sabah adalah kedua termahal di Malaysia termasuklah di Sandakan! 

Lalu, ramai penduduk Sandakan tinggal di kawasan setinggan kerana tidak mampu untuk menyewa rumah, apatah lagi membelinya. Rumah PPRT pula masih belum cukup untuk menampung jumlah penduduk yang dipindahkan daripada rumah setinggan yang dimusnahkan oleh pihak berkuasa. 

Ditambah pula dengan pelaksanaan GST yang dilihat lebih membawa kesan buruk kepada warga Sandakan kerana harga barangan di sebahagian besar pasaraya telah dinaikkan secara perlahan-lahan termasuklah pasaraya Gentingmas yang terkenal dengan harga barangan murah di daerah Sandakan. 

Kenaikan harga barang menyumbang kepada pertambahan nilai perbelanjaan bulanan bagi setiap keluarga yang terpaksa menampung perbelanjaan anak-anak yang bersekolah. Lalu bagaimana pula keadaannya dengan golongan yang berpendapatan kurang daripada RM800 sebulan untuk membayar sewa rumah, belanja dapur, belanja harian anak-anak ke sekolah, dan sebagainya? 

Slogan yang dilaung-laungkan oleh para wakil rakyat semasa pilihanraya adalah untuk membantu penduduk Sandakan meningkatkan taraf hidup mereka namun agak mengecewakan kerana sehingga ke saat ini, belum ada wakil rakyat yang menyuarakan bantahan mereka terhadap kenaikan harga barang di Sandakan baik daripada pihak Barisan Nasional mahupun wakil rakyat pembangkang yang menyandang kerusi Parlimen dan DUN. Yang disibukkan adalah isu penubuhan Pakatan Rakyat Baharu di Sabah! 

Rakyat bukan mahukan wakil-wakil mereka ini menyalurkan wang berjuta kepada mereka seperti BR1M tetapi mereka mahu supaya wakil-wakil yang mereka pilih ini mencari satu jalan untuk keluar daripada permasalahan yang mereka hadapi. Paling kurang pun, suara-suara mereka disampaikan kepada para pemerintah supaya diambil peduli terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Bukan hanya pada musim pilihanraya sahaja baru mahu menjejakkan kaki ke pondok usang di celah-celah kampong! 

Adakah perlu rakyat Sabah bangun menentang seperti yang dilakukan oleh pergerakan SABAH SARAWAK KELUAR MALAYSIA (SSKM) barulah para wakil rakyat ini sedar dari ‘tidur’ mereka? Janganlah pula sudah terhantuk, baru terngadah. Ketika itu, barulah mereka tahu akan tingginya langit yang didongak dan rendahnya bumi tempat berpijak. 

*Diterbitkan oleh TMI pada 02-April-2015

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts