Thursday, 23 May 2013

Melepaskan - Langkah Terbaik Menjaga Hati

Salah satu sebab mengapa kadang kala kita tidak dapat menerima kenyataan bahawa sesuatu yang kita inginkan bukan menjadi milik kita adalah kerana sikap kita sendiri yang tidak ingin MELEPASKAN.

Apabila kemahuan kita tidak tercapai, maka diri sendiri juga yang merasa sakitnya bukan? Apa salahnya melepaskan segala rasa yang membuatkan kita berada dalam keresahan, kerisauan dan ketakutan untuk berhadapan dengan kenyataan?

Memang payah sebenarnya untuk melepaskan sesuatu yang amat kita inginkan, berkenan di hati, tetapi semua itu akan kita pelajari melalui guru yang bernama PENGALAMAN.

Pohon Yang Rendang



Ibarat sebuah pohon yang telah tertanam di halaman rumah kita, disemai dengan benih sehingga ia tumbuh subur dan lebat rendang daun rantingnya. Dengan penuh perhatian kita menjaga, dengan sepenuh hati tiada berbelah bahagi. Namun, dengan tidak semena-mena, angin ribut bertiup kencang, hingga mengakibatkan pohon yang lebat itu tumbang dan tercabut segala akar yang tertanam di dasar tanah yang dalam.

Melihat keadaan tanah yang telah rosak, terbongkar dek tercabut akar pohon tersebut, maka kita mulai dilema, membayangkan sama ada ia mampu pulih seperti sediakala ataupun ia akan musnah selamanya.

Eyalah, pohon yang musnah, boleh ditanam pohon yang baharu. Tapi kalau tanah yang rosak, mana mungkin boleh menanam pohon yang lain sekalipun bakanya adalah yang terbaik. Maka, yang perlu dijaga adalah tanah tersebut.

Hati Ibarat Tanah



Demikian juga hati kita yang boleh diibaratkan sebagai tanah, tempat menyemai dan membaja, pohon itu pula adalah sesuatu yang amat kita sukakan dan telah berbekas di dalam hati kita sejak sekian lama. Tiba-tiba datang ujian yang mengakibatkan kita merasa kesakitan dek kerana sesuatu yang amat kita sukakan itu tidak lagi bersama kita. Dengan erti kata lain, kita akan kehilangannya.

Sakit bukan? Apabila hati kita dikoyak rabak sedemikian rupa? Tapi, daripada peristiwa itulah kita perlu belajar bahawa dalam apa jua keadaan, kita MESTI bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk juga kenyataan yang menyakitkan.

Harapan tidak kesampaian, Mimpi hanya sekadar Mimpi, semua itu sudah lumrah kehidupan. Mimpi tidak semestinya menjadi realiti.

Tidak salah menyimpan harapan namun kita kena ingat, sebarang kemungkinan bakal berlaku sama ada yang kita sukai mahupun sebaliknya.

Oleh itu, apa jua yang kita sukai, berkenan di hati, jangan kita tanam ia sehingga ke dasar hati yang terdalam kerana suatu masa, bila ia pergi, payah untuk menahan sakitnya tatkala ia tercabut daripada dasar hati kita sendiri. Luka yang berdarah, masih mampu kita tahan. Tetapi luka di dalam hati, hanya jiwa dan raga yang merasai...

Lepaskan segala rasa yang membelenggu diri kita sendiri dengan menerima kenyataan bahawa setiap yang datang pasti akan pergi sekalipun yang datang itu, cukup meyakinkan kita bahawa ia akan bersama kita selamanya. Kita tidak mampu merencanakan perkara yang bakal kita lalui hanya dengan kudrat yang sangat tidak berdaya.

Bukankah kita hanya manusia biasa yang perlu pasrah kepada ketentuan-Nya kerana kita sebagai manusia biasa mana mungkin mengetahui sesuatu yang tidak kita ketahui?

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْ‌هٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَ‌هُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ‌ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." 

(Al-Baqarah 2 : 216)

Harapan Ibarat Air Di Dalam Gelas

Teringat pesanan seorang ustazah yang tidak pernah jemu memberi nasihat kepada saya;

"Kita kena ingat, bila kita minum air, kita jangan habiskan semua sekali. Tinggalkan separuh... Demikian juga apabila kita menyimpan harapan terhadap sesuatu. Jangan kita tumpahkan sehabisnya kepada yang kita harapkan kerana bila ia tidak kesampaian, kita masih punya kekuatan untuk bangkit semula. Sepertimana air yang masih tinggal separuh di dalam cawan tersebut..."


Seandainya diamati pesanan itu sedalam-dalamnya, ternyata ia meninggalkan suatu khazanah buat kita, iaitu PANDUAN.

~ ~ ~ ~ ~ # # # ~ ~ ~ ~ ~

Lepaskanlah rasa Memiliki
Agar Mudah Menerima Realiti

Yang Datang Pasti Akan Pergi
Tanpa Mampu Kita Sedari

Serahkan Segalanya Kepada Ilahi
Itulah Yang Terbaik Buat Diri...

Sunday, 19 May 2013

Bercakap Urusan Dunia di Dalam Masjid

Bercakap urusan dunia di dalam masjid:

"Siapa yang bercakap tentang urusan dunia di dalam masjid, Allah akan menghapuskan amalannya empat puluh tahun."

As-Saghani berkata hadis ini adalah hadis palsu. Pendapat ini dipersetujui oleh 'Ali al-Qari dalam bukunya 'al-Asrar al-Marfu'ah fi Akhbar al-Maudhu'ah'

Larangan secara khusus oleh Rasulullah yang berkaitan dengan masjid adalah:
 

1. Larangan menjalankan urusan jual beli di dalam masjid sebagaimana maksud hadith Rasulullah:

"Jika kamu melihat seseorang berniaga di dalam masjid, hendaklah kamu ucapkan "Semoga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu"." (Riwayat at-Tirmidzi)

2. Larangan membuat iklan untuk mencari barang yang hilang sebagaimana maksud hadith Rasulullah:

"Siapa yang mendengar seseorang membuat pengumuman untuk mencari barang yang hilang di dalam masjid, maka ucapkanlah "Semoga Allah tidak mengembalikan barang tersebut kepada kamu". Sesungguhnya masjid bukan dibina untuk urusan ini." (Riwayat Muslim)

Namun begitu, keharusan untuk bercakap soal keduniaan di dalam masjid tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia masih terikat dengan adab-adab di dalam masjid.

Wallahu'alam.

Sunday, 10 February 2013

Ekspedisi ke Pulau Sanghai Sandakan - Bhg. Akhir

Jambatan Penghubung

Menurut Pak Cik Halin Osman, terdapat sebuah jambatan yang dahulunya menghubungkan Pulau Sanghai dan Kampung Trungliman. Jambatan itu digunakan untuk kanak-kanak Sanghai pergi ke sekolah pada setiap hari. Namun begitu, jambatan tersebut telah roboh kerana usang dan terlalu lama tidak dibaiki.

Kini, mereka terpaksa menggunakan perahu atau bot untuk sampai ke Kampung Trungliman.


Tiang jambatan yang tegak berdiri

Masih bertahan walau dimamah usia
Pemandangan Pulau Sanghai dari Kampung Trungliman

Sambungan jambatan di Kampung Trungliman

Tiang-tiang yang masih terpacak tersergam indah

Menurut Pak Cik Salleh, seorang penduduk di Kampung Trungliman, peruntukan telah diluluskan untuk membaiki jambatan tersebut cuma kerja-kerja pembinaan masih belum dimulakan. Harapnya kerja tersebut dimulakan dengan kadar segera supaya dapat memudahkan penduduk Pulau Sanghai pergi ke Kampung Trungliman sama ada untuk berurusan dengan penduduk seberang ataupun menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

PENUTUP

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga membuat tinjauan di Pulau Sanghai walaupun dalam tempoh masa yang agak singkat. Dimudahkan segala urusan dan yang paling penting, bantuan yang diberikan tanpa dapat diberikan sebarang balasan.


Buku Pelawat di pondok pengawal SK Pulau Sanghai

Bot yang boleh digunakan untuk mengangkut penumpang (di bawah jagaan ketua kampung Trungliman)
Keceriaan wajah kanak-kanak ini, entah bila lagi akan kelihatan

Generasi Pulau Sanghai yang bakal mewarisi Bumi Sanghai

Dalam perjalanan pulang ke Tanah Besar Sandakan(Ambil gambar sendiri sebab 'kameraman' x ada)

PENTAGON, Syarikat swasta yang berperanan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk di pulau-pulau.

Batu yang berbentuk seekor sapi telah runtuh akibat terkena pukulan ombak.(Nama Batu Sapi berasal daripada Batu yang berbentuk seperti seekor sapi)

Kilang Industri pemprosesan Minyak Kelapa Sawit

Terima Kasih kerana sudi menghantar kami semula ke Tanah Besar Sandakan

PENGHARGAAN

Tuan Haji Hamzah Abdullah
(Pesuruhjaya Sumpah Malaysia)

En. Abd Haris
(Guru SMK Elopura II, Sandakan)

Penduduk Pulau Sanghai

Penduduk Kampung Trungliman

Ekspedisi ke Pulau Sanghai Sandakan - Bhg. 2

Aktiviti kanak-kanak Sanghai

Kebanyakan anak-anak Sanghai masih bersekolah pada tahap rendah dan menengah. Pada masa lapang, kebiasaannya mereka akan berkumpul untuk bermain bersama-sama sepanjang hari. Antara aktiviti yang mereka lakukan adalah seperti yang tertera pada gambar berikut;

Bermain bersama kawan-kawan sekampung

Golongan remaja pula bermain Sepak Takraw

Mencari 'pun-pun' untuk dijadikan umpan memancing ikan.
(Pun-pun adalah sejenis cacing yang mempunyai banyak kaki. Amat sesuai digunakan sebagai umpan berbanding cacing tanah)

Kanak-kanak berkumpul di hadapan pintu surau sambil memerhatikan bot kami yang beransur meninggalkan Pulau Sanghai menuju ke Kampung Trungliman

Petempatan

Kebanyakan rumah yang ada di Pulau Sanghai serba lengkap dan sempurna walaupun terdapat beberapa buah rumah yang berada dalam keadaan serba dha'if dan kekurangan. Terdapat juga beberapa buah rumah PPRT di pulau tersebut termasuk di Kampung Trungliman.

Rumah yang serba lengkap dan sempurna

Sebahagian rumah PPRT di Pulau Sanghai

Rumah PPRT di Kampung Trungliman

Rumah penduduk Kampung Trungliman
 

Pendidikan

Ramai kanak-kanak di Pulau Sanghai yang masih bersekolah pada tahap rendah dan menengah. Kanak-kanak sekolah rendah akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Sanghai Sandakan yang terletak di Kampung Trungliman.

Jambatan menuju ke pintu masuk SK Pulau Sanghai

Pondok Rehat

Kelas
Tapak perhimpunan murid-murid SK Pulau Sanghai
Bersama Tuan Haji Hamzah Abdullah, Encik Abd. Haris dan Encik Salleh Bin Ajid, salah seorang penduduk di Kampung Trungliman
Bagi anak-anak Sanghai dan Trungliman yang bersekolah pada tahap menengah, mereka akan belajar di sekolah yang mempunyai asrama seperti SMK Batu Sapi, SMK Sandakan, SMK Agama Sandakan, dan beberapa buah sekolah lain yang terdapat di sekitar kawasan Sandakan. Hal ini memudahkan mereka untuk mendapatkan tempat tinggal pada waktu persekolahan. Kebiasaannya mereka akan pulang ke rumah pada setiap petang hari Jumaat dan kembali semula ke asrama pada petang hari Ahad.

Salah seorang pelajar SMK Agama Sandakan yang sedang menuju ke Jeti Sinora untuk kembali ke asrama.

Bersambung...

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts