Saturday, 21 December 2013

Gagal Peperiksaan Tiada Masa Depan?

Musim peperiksaan kini kembali lagi. Peperiksaan yang tidak akan terpisah daripada sistem pendidikan di negara kita. Daripada UPSR kepada PMR, sampailah kepada SPM, kemudian ke peringkat seterusnya, STPM, STAM, DIPLOMA, IJAZAH, dan seterusnya.

Ok, isunya di sini bukan pasal peperiksaan, tapi tentang KEPUTUSAN peperiksaan. Dan dalam entri kali ni, saya akan sertakan sekali pengalaman saya yang pernah melalui zaman-zaman peperiksaan sebelum ini. Ala, nama blog pun Jalan Pengalaman, pengalaman jak la yang mampu dikongsi. 

Ok, saya mulakan dengan sejarah saya melalui peperiksaan daripada UPSR ---> STPM. 

Eh, sebelum tu, saya mau tegaskan di sini, bahawa semua keputusan peperiksaan saya bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk melainkan sebagai contoh yang nyata. Baru nampak REAL. 

UPSR, saya dapat; 3A 2B jak. 

Lepas tu PMR, dapat; 7A 1B. 

SPM pula saya dapat; 3A1 3B3 2C5 1C6 dan 2D7. 

Kalau difikirkan, mana mungkin PMR ok tapi SPM ndak ok kan? 

Masa tu, saya rasa macam tiada harapan. Cita-cita untuk menjadi DOKTOR tidak kesampaian. Saya mohon untuk masuk Matrikulasi, tapi memang tidak layak sebab yang dapat D7 tu subjek Kimia dan Fizik. Memang la ndak akan dapat punya. Masa tu yang saya fikir cuma cari kerja. Biarlah, kerja biasa pun jadi lah. Yang penting halal dan boleh hidup. 

Tapi, ada kawan pesan, supaya cek juga kalau-kalau dapat tawaran Tingkatan 6. Cek-cek, Alhamdulillah, dapat tawaran masuk Tingkatan 6. Di sekolah yang sama. 

SMK Elopura 2, Sandakan
Mula-mula masuk kelas tu, dapat markah 0 dalam peperiksaan. Sebabnya, baru balik daripada PLKN. Jadi memang ndak belajar la. Masuk T6 pun sekadar mau dapat sijil lepas tu cari kerja. Sebab tu mula-mula buat ndak kisah. Masuk kelas pun banyak tidur... 

Tapi, sokongan daripada guru-guru, buat saya rasa, saya mesti buat yang TERBAIK dalam STPM walaupun tidak dapat 4Flat. Walaupun selalu kena 'tembak' secara terbuka oleh seorang guru yang amat saya kagumi sebab markah yang selalu rendah, tapi 'tembakan' tu la yang membantu saya berada dalam U sekarang ni. 

Alhamdulillah, STPM, saya dapat; 

1A 4B. Kejayaan yang rasa tidak perlu dibanggakan dengan pointer 3.427. 

Sumbangan saya kepada sekolah cuma 1A tu jak la untuk subjek Syariah. Saya bukan pelajar yang pintar pun... 

Kemudian, Alhamdulillah, dapat tawaran masuk ke UIA Gombak dengan jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik. 

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak
Dan kini, masih lagi dalam tempoh pengajian yang berbaki 4 semester = 2 tahun. 

Cumanya di sini, ingin saya simpulkan bahawa kejayaan dalam mana-mana peperiksaan bukanlah penentu kepada kejayaan dalam kehidupan. Ada kawan saya yang selalu gagal dalam peperiksaan bahkan dalam SPM pun tidaklah cemerlang mana keputusanyan tetapi berjaya menjalani kehidupan di luar alam persekolahan dengan jayanya. 

Yang berjaya dalam peperiksaan, kita raikan. Sama juga dengan yang tidak berjaya dengan cemerlang. Kita jangan expect semua orang akan dapat keputusan yang sama sebab masing-masing pun ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. 

Mungkin kejayaan mereka bukan pada peperiksaan tetapi pada selain itu. Bahkan penulisan ini bukan pula bertujuan untuk memperlekehkan mereka yang mencapai KEJAYAAN dalam peperiksaan awam tetapi sekadar pendorong kepada mereka yang tidak mendapat A yang banyak dalam slip keputusan mereka. 

Tugas kita sebagai orang dewasa, kita dorong mereka yang tidak berjaya dalam peperiksaan untuk menjadi sekurang-kurangnya seorang INSAN kalaupun tidak mampu menjadi seorang yang HEBAT dalam masyarakat. Sebab apa orang yang tidak pandai dalam pelajaran ni sering ketinggalan? Sebab mereka TERABAI. 

Masyarakat kini hanya bangga dan melihat kepada pencapaian Akademik berbanding kepada potensi istimewa yang dimiliki oleh setiap orang terutamanya golongan remaja yang masih bersekolah. 

Pesanan saya kepada adik-adik saya di luar sana, hanya satu, 

PERJALANAN MASIH JAUH, PELUANG MASIH BANYAK 

Jangan kerana kegagalan yang sekecil ini maka langkah dihentikan hanya kerana merasakan tidak ada masa depan. Siapa yang menentukan MASA DEPAN kita kalau bukan diri kita sendiri ? 

Teringat pesanan seorang pensyarah Sejarah dan Tamadun saya di dalam kelas; 

"Ijazah dan apa jua sijil yang kita miliki, hanyalah sekadar certificate di atas sekeping kertas yang tidak ada nilainya. Yang bernilai adalah ilmu yang akan kita sampaikan dan manfaatkan kepada masyarakat di luar sana. Itulah harta yang kita miliki. Berapa ramai orang yang mendapat Ijazah tetapi menganggur? Tidak berkualiti. Sebab hanya bergantung kepada SIJIL." 

Namun begitu, walaupun keputusan itu hanya ada di atas kertas yang tidak bernilai, usaha untuk mendapatkan keputusan yang TERBAIK itu juga penting, jangan pula langsung tidak berusaha. Itu SALAH namanya ! 

Kalau boleh dan kalau mampu, capai kedua-duanya sekali. Kalau tidak mampu, tiada mengapa, kita lebih tahu potensi diri kita setakat mana. 

Apa yang paling penting, 

Ketahuilah, Gagal dalam Pelajaran bukan bermakna Gagal dalam Kehidupan. 

Sebab, kepintaran itu bukan semata-mata pada pelajaran, tetapi lebih luas daripada itu ! 

Bumi Allah ini terlalu luas untuk dijelajahi, terlalu banyak peluang dan ruang untuk diraih oleh sesiapa jua yang berusaha mendapatkannya. 

Selamat Maju Jaya !

Sunday, 1 December 2013

Jagung Mayonis ~

Salah satu makanan Faveret sewaktu berada di Sandakan, adalah Jagung Mayonis ~

Setiap kali ke bandar Sandakan, mesti beli Jagung Mayonis. Mula-mula beli harganya RM2.00 per cup. Tapi, sejak kenaikan harga minyak ni, harga pun da naik jadi RM 2.70 per cup.

Ndak apa la, yang penting di sini, saya mau kongsikan resipi Jagung Mayonis ni sebab resipi ni bukannya asli daripada saya. Siapa-siapa pun boleh cuba try buat di rumah masing. Yang saya buat sendiri ni, saya guna Rice Cooker kesayangan saya di Mahallah, hehe.

Ni Rice Cooker kesayangan yang banyak berjasa sampai sekarang. Mula-mula beli setahun lepas.

Well, sekarang ni mau buat Jagung Mayonis pula, hehe

Ni jagung Mayonis yang saya beli di bandar Sandakan setiap kali cuti sem... hehe

Cara-caranya;


Bahan-bahan:
  • Jagung
  • Mayonis (Lady's Choice)
  • Kismis
  • Garam Halus
  • Gula Halus

Cara-cara penyediaan:
  1. Rebus Jabung tersebut sehingga kelihatan suda masak. Kalau mau try makan pun bole, lagi dialu-alukan.
  2. Setelah siap rebus jagung, tuskan airnya kemudian masukkan kismis, garam dan gula secukup rasa, (bole agak-agak la).
  3. Masukkan Mayonis, kemudian gaul hingga rata.
  4. Bole makan suda..
  • Kalau mau lagi terasa lemaknya, bole tambah mayonis.
  • Garam dan gula ditambah sebagai perisa tambahan untuk mewujudkan rasa lemak.
  • Guna Rice Cooker pun bole juga, hehehe


Suda siap, =) Self Made Jagung Mayonis ~

Well, Selamat Mencuba =)

Saturday, 10 August 2013

Pertunangan, Kenapa perlu dirahsiakan ?

Kerana, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita;

"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan"
 
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu 'anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil)
 


Melihat keadaan anak-anak muda yang masih di alam persekolahan, menjadi kerisauan tatkala mereka meletakkan status 'Engaged' di FB masing-masing, tidak terkecuali kepada mereka yang 'so-called' Muslimah.

Sekalipun pertunangan itu boleh terjadi hanya dengan penerimaan pihak perempuan tanpa melalui wali (ibu bapa), tetapi kena ada adab-adab yang perlu dijaga sebagai seorang Muslim dan Muslimah.

Kesilapan kecil ini sering terjadi tidak kira kepada mereka yang faham agama mahupun mereka yang baru bertatih belajar agama. Boleh jadi, mereka yang faham agama ini terlupa walaupun sebenarnya ramai yang tidak sengaja kerana kefahaman yang cetek tentang Islam itu sendiri. Namun, ia bukan menjadi alasan untuk mereka yang faham membiarkan perkara itu terus berlarutan apatah lagi terhadap diri mereka sendiri sebagai pelaku perbuatan tersebut.

Pertunangan hanyalah satu ikatan yang tidak rasmi yang mana ia boleh terputus bila-bila masa sahaja tanpa melalui proses yang formal. Maka, bayangkan sekiranya perkara itu dihebahkan kepada orang ramai kemudian ia terputus begitu sahaja. Bukankah ia mengundang malu kepada si perempuan itu?

Ada yang tidak ambil peduli akan hal dan tidak kisah kalau diputuskan pertunangan kerana ia sudah menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat. Bukan setakat bertunang, yang belum bertunang pun perangai mereka lebih daripada mereka yang sudah berkahwin. Berjalan berdua-duaan ke sana ke mari seperti pasangan suami isteri. Golongan remaja dan tidak juga terkecuali golongan dewasa.
 
Perkara ini perlu dielakkan apatah lagi tatkala kita berada dalam kelompok yang dikenali sebagai 'Ustaz' n 'Ustazah'. Sebagai Ejen Dakwah, seseorang itu mesti menjaga adab-adab pergaulan dalam kehidupan seharian kerana mereka akan menjadi tumpuan masyarakat. Kesilapan yang sedikit bakal mencalarkan imej dakwah yang dipikul kerana masyarakat ini lebih suka untuk terus menghukum daripada memberi peluang kepada diri mereka sendiri untuk menilai kesilapan tersebut yang juga merupakan kekurangan sebagai seorang manusia.

Apa yang penting, kesilapan yang dilakukan, jangan dibiarkan berpanjangan. Perbaiki selagi berkesempatan. Dan yang paling penting, ingatlah pesanan Rasulullah SAW di atas, Rahsiakan Pertunangan ~

Thursday, 23 May 2013

Melepaskan - Langkah Terbaik Menjaga Hati

Salah satu sebab mengapa kadang kala kita tidak dapat menerima kenyataan bahawa sesuatu yang kita inginkan bukan menjadi milik kita adalah kerana sikap kita sendiri yang tidak ingin MELEPASKAN.

Apabila kemahuan kita tidak tercapai, maka diri sendiri juga yang merasa sakitnya bukan? Apa salahnya melepaskan segala rasa yang membuatkan kita berada dalam keresahan, kerisauan dan ketakutan untuk berhadapan dengan kenyataan?

Memang payah sebenarnya untuk melepaskan sesuatu yang amat kita inginkan, berkenan di hati, tetapi semua itu akan kita pelajari melalui guru yang bernama PENGALAMAN.

Pohon Yang Rendang



Ibarat sebuah pohon yang telah tertanam di halaman rumah kita, disemai dengan benih sehingga ia tumbuh subur dan lebat rendang daun rantingnya. Dengan penuh perhatian kita menjaga, dengan sepenuh hati tiada berbelah bahagi. Namun, dengan tidak semena-mena, angin ribut bertiup kencang, hingga mengakibatkan pohon yang lebat itu tumbang dan tercabut segala akar yang tertanam di dasar tanah yang dalam.

Melihat keadaan tanah yang telah rosak, terbongkar dek tercabut akar pohon tersebut, maka kita mulai dilema, membayangkan sama ada ia mampu pulih seperti sediakala ataupun ia akan musnah selamanya.

Eyalah, pohon yang musnah, boleh ditanam pohon yang baharu. Tapi kalau tanah yang rosak, mana mungkin boleh menanam pohon yang lain sekalipun bakanya adalah yang terbaik. Maka, yang perlu dijaga adalah tanah tersebut.

Hati Ibarat Tanah



Demikian juga hati kita yang boleh diibaratkan sebagai tanah, tempat menyemai dan membaja, pohon itu pula adalah sesuatu yang amat kita sukakan dan telah berbekas di dalam hati kita sejak sekian lama. Tiba-tiba datang ujian yang mengakibatkan kita merasa kesakitan dek kerana sesuatu yang amat kita sukakan itu tidak lagi bersama kita. Dengan erti kata lain, kita akan kehilangannya.

Sakit bukan? Apabila hati kita dikoyak rabak sedemikian rupa? Tapi, daripada peristiwa itulah kita perlu belajar bahawa dalam apa jua keadaan, kita MESTI bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk juga kenyataan yang menyakitkan.

Harapan tidak kesampaian, Mimpi hanya sekadar Mimpi, semua itu sudah lumrah kehidupan. Mimpi tidak semestinya menjadi realiti.

Tidak salah menyimpan harapan namun kita kena ingat, sebarang kemungkinan bakal berlaku sama ada yang kita sukai mahupun sebaliknya.

Oleh itu, apa jua yang kita sukai, berkenan di hati, jangan kita tanam ia sehingga ke dasar hati yang terdalam kerana suatu masa, bila ia pergi, payah untuk menahan sakitnya tatkala ia tercabut daripada dasar hati kita sendiri. Luka yang berdarah, masih mampu kita tahan. Tetapi luka di dalam hati, hanya jiwa dan raga yang merasai...

Lepaskan segala rasa yang membelenggu diri kita sendiri dengan menerima kenyataan bahawa setiap yang datang pasti akan pergi sekalipun yang datang itu, cukup meyakinkan kita bahawa ia akan bersama kita selamanya. Kita tidak mampu merencanakan perkara yang bakal kita lalui hanya dengan kudrat yang sangat tidak berdaya.

Bukankah kita hanya manusia biasa yang perlu pasrah kepada ketentuan-Nya kerana kita sebagai manusia biasa mana mungkin mengetahui sesuatu yang tidak kita ketahui?

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْ‌هٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَ‌هُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ‌ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." 

(Al-Baqarah 2 : 216)

Harapan Ibarat Air Di Dalam Gelas

Teringat pesanan seorang ustazah yang tidak pernah jemu memberi nasihat kepada saya;

"Kita kena ingat, bila kita minum air, kita jangan habiskan semua sekali. Tinggalkan separuh... Demikian juga apabila kita menyimpan harapan terhadap sesuatu. Jangan kita tumpahkan sehabisnya kepada yang kita harapkan kerana bila ia tidak kesampaian, kita masih punya kekuatan untuk bangkit semula. Sepertimana air yang masih tinggal separuh di dalam cawan tersebut..."


Seandainya diamati pesanan itu sedalam-dalamnya, ternyata ia meninggalkan suatu khazanah buat kita, iaitu PANDUAN.

~ ~ ~ ~ ~ # # # ~ ~ ~ ~ ~

Lepaskanlah rasa Memiliki
Agar Mudah Menerima Realiti

Yang Datang Pasti Akan Pergi
Tanpa Mampu Kita Sedari

Serahkan Segalanya Kepada Ilahi
Itulah Yang Terbaik Buat Diri...

Sunday, 19 May 2013

Bercakap Urusan Dunia di Dalam Masjid

Bercakap urusan dunia di dalam masjid:

"Siapa yang bercakap tentang urusan dunia di dalam masjid, Allah akan menghapuskan amalannya empat puluh tahun."

As-Saghani berkata hadis ini adalah hadis palsu. Pendapat ini dipersetujui oleh 'Ali al-Qari dalam bukunya 'al-Asrar al-Marfu'ah fi Akhbar al-Maudhu'ah'

Larangan secara khusus oleh Rasulullah yang berkaitan dengan masjid adalah:
 

1. Larangan menjalankan urusan jual beli di dalam masjid sebagaimana maksud hadith Rasulullah:

"Jika kamu melihat seseorang berniaga di dalam masjid, hendaklah kamu ucapkan "Semoga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu"." (Riwayat at-Tirmidzi)

2. Larangan membuat iklan untuk mencari barang yang hilang sebagaimana maksud hadith Rasulullah:

"Siapa yang mendengar seseorang membuat pengumuman untuk mencari barang yang hilang di dalam masjid, maka ucapkanlah "Semoga Allah tidak mengembalikan barang tersebut kepada kamu". Sesungguhnya masjid bukan dibina untuk urusan ini." (Riwayat Muslim)

Namun begitu, keharusan untuk bercakap soal keduniaan di dalam masjid tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia masih terikat dengan adab-adab di dalam masjid.

Wallahu'alam.

Sunday, 10 February 2013

Ekspedisi ke Pulau Sanghai Sandakan - Bhg. Akhir

Jambatan Penghubung

Menurut Pak Cik Halin Osman, terdapat sebuah jambatan yang dahulunya menghubungkan Pulau Sanghai dan Kampung Trungliman. Jambatan itu digunakan untuk kanak-kanak Sanghai pergi ke sekolah pada setiap hari. Namun begitu, jambatan tersebut telah roboh kerana usang dan terlalu lama tidak dibaiki.

Kini, mereka terpaksa menggunakan perahu atau bot untuk sampai ke Kampung Trungliman.


Tiang jambatan yang tegak berdiri

Masih bertahan walau dimamah usia
Pemandangan Pulau Sanghai dari Kampung Trungliman

Sambungan jambatan di Kampung Trungliman

Tiang-tiang yang masih terpacak tersergam indah

Menurut Pak Cik Salleh, seorang penduduk di Kampung Trungliman, peruntukan telah diluluskan untuk membaiki jambatan tersebut cuma kerja-kerja pembinaan masih belum dimulakan. Harapnya kerja tersebut dimulakan dengan kadar segera supaya dapat memudahkan penduduk Pulau Sanghai pergi ke Kampung Trungliman sama ada untuk berurusan dengan penduduk seberang ataupun menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

PENUTUP

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga membuat tinjauan di Pulau Sanghai walaupun dalam tempoh masa yang agak singkat. Dimudahkan segala urusan dan yang paling penting, bantuan yang diberikan tanpa dapat diberikan sebarang balasan.


Buku Pelawat di pondok pengawal SK Pulau Sanghai

Bot yang boleh digunakan untuk mengangkut penumpang (di bawah jagaan ketua kampung Trungliman)
Keceriaan wajah kanak-kanak ini, entah bila lagi akan kelihatan

Generasi Pulau Sanghai yang bakal mewarisi Bumi Sanghai

Dalam perjalanan pulang ke Tanah Besar Sandakan(Ambil gambar sendiri sebab 'kameraman' x ada)

PENTAGON, Syarikat swasta yang berperanan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk di pulau-pulau.

Batu yang berbentuk seekor sapi telah runtuh akibat terkena pukulan ombak.(Nama Batu Sapi berasal daripada Batu yang berbentuk seperti seekor sapi)

Kilang Industri pemprosesan Minyak Kelapa Sawit

Terima Kasih kerana sudi menghantar kami semula ke Tanah Besar Sandakan

PENGHARGAAN

Tuan Haji Hamzah Abdullah
(Pesuruhjaya Sumpah Malaysia)

En. Abd Haris
(Guru SMK Elopura II, Sandakan)

Penduduk Pulau Sanghai

Penduduk Kampung Trungliman

Ekspedisi ke Pulau Sanghai Sandakan - Bhg. 2

Aktiviti kanak-kanak Sanghai

Kebanyakan anak-anak Sanghai masih bersekolah pada tahap rendah dan menengah. Pada masa lapang, kebiasaannya mereka akan berkumpul untuk bermain bersama-sama sepanjang hari. Antara aktiviti yang mereka lakukan adalah seperti yang tertera pada gambar berikut;

Bermain bersama kawan-kawan sekampung

Golongan remaja pula bermain Sepak Takraw

Mencari 'pun-pun' untuk dijadikan umpan memancing ikan.
(Pun-pun adalah sejenis cacing yang mempunyai banyak kaki. Amat sesuai digunakan sebagai umpan berbanding cacing tanah)

Kanak-kanak berkumpul di hadapan pintu surau sambil memerhatikan bot kami yang beransur meninggalkan Pulau Sanghai menuju ke Kampung Trungliman

Petempatan

Kebanyakan rumah yang ada di Pulau Sanghai serba lengkap dan sempurna walaupun terdapat beberapa buah rumah yang berada dalam keadaan serba dha'if dan kekurangan. Terdapat juga beberapa buah rumah PPRT di pulau tersebut termasuk di Kampung Trungliman.

Rumah yang serba lengkap dan sempurna

Sebahagian rumah PPRT di Pulau Sanghai

Rumah PPRT di Kampung Trungliman

Rumah penduduk Kampung Trungliman
 

Pendidikan

Ramai kanak-kanak di Pulau Sanghai yang masih bersekolah pada tahap rendah dan menengah. Kanak-kanak sekolah rendah akan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Sanghai Sandakan yang terletak di Kampung Trungliman.

Jambatan menuju ke pintu masuk SK Pulau Sanghai

Pondok Rehat

Kelas
Tapak perhimpunan murid-murid SK Pulau Sanghai
Bersama Tuan Haji Hamzah Abdullah, Encik Abd. Haris dan Encik Salleh Bin Ajid, salah seorang penduduk di Kampung Trungliman
Bagi anak-anak Sanghai dan Trungliman yang bersekolah pada tahap menengah, mereka akan belajar di sekolah yang mempunyai asrama seperti SMK Batu Sapi, SMK Sandakan, SMK Agama Sandakan, dan beberapa buah sekolah lain yang terdapat di sekitar kawasan Sandakan. Hal ini memudahkan mereka untuk mendapatkan tempat tinggal pada waktu persekolahan. Kebiasaannya mereka akan pulang ke rumah pada setiap petang hari Jumaat dan kembali semula ke asrama pada petang hari Ahad.

Salah seorang pelajar SMK Agama Sandakan yang sedang menuju ke Jeti Sinora untuk kembali ke asrama.

Bersambung...

Sunday, 27 January 2013

Ekspedisi ke Pulau Sanghai Sandakan - Bhg. 1

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, pada hari ini, 27 Januari 2013 bersamaan dengan hari Ahad, saya (Wakil daripada Kelab MISI UIAM), Tuan Haji Hamzah Abdullah dan Encik Abdul Haris telah bersama-sama menjalankan tinjauan di Pulau Sanghai.

Tinjauan tersebut dilakukan untuk mendapatkan maklumat berkenaan Pulau Sanghai sebagai persediaan awal Kelab MISI UIAM sebelum menjalankan program di pulau tersebut.


Pulau Sanghai dari Jeti Batu Sapi
Pulau Sanghai yang berdekatan dengan Kampung Trunglit

Lokasi Pulau Sanghai


Pulau Sanghai terletak di Selatan bandar Sandakan dan bersebelahan dengan Kampung Trunglit. Jarak Pulau Sanghai dari Jeti Sinora Batu Sapi lebih kurang 7 km dengan mengambil masa selama lebih kurang 20 minit dengan menaiki bot berenjin 15hp.

Jeti Sinora Batu Sapi (salah satu jeti untuk ke Pulau Sanghai)
Jeti yang sering menjadi pilihan dan yang terdekat untuk ke Pulau Sanghai











Bot yang selalu digunakan oleh penduduk kampung Pulau Sanghai



Pemandangan belakang pulau


Perumahan Penduduk Kampung Pulau Sanghai

Penduduk Kampung Pulau Sanghai


Penduduk di Pulau Sanghai merupakan penduduk tempatan beragama Islam suku kaum Bajau dan Suluk. Bahasa pertuturan yang digunapakai oleh penduduk tempatan adalah Bahasa Malaysia, Suluk dan Bajau. Dianggarkan terdapat lebih kurang 100 buah rumah yang ada di pulau tersebut termasuk di Kampung Trunglit. Kampung Trunglit dianggap sebagai sebahagian daripada daripada Pulau Sanghai kerana sangat hampir dengan pulau tersebut.

Penduduk tempatan menjalankan kegiatan menangkap ikan sebagai sumber ekonomi mereka yang berbentuk sistem ekonomi sara diri. Hampir kesemua penduduk di pulau tersebut adalah nelayan. Hasil tangkapan ikan akan dijual di pasar dan untuk kegunaan sendiri. Sumber air diperoleh melalui tadahan air hujan manakala sumber tenaga elektrik dijana dengan menggunakan 'Generator'.

Rata-rata penduduk di Pulau Sanghai masih belum tahu dan faham tentang agama Islam. Menurut Pak Cik Halin Osman, wakil penduduk Pulau Sanghai, keadaan tersebut berlaku kerana kekurangan tenaga pengajar yang boleh membantu mereka untuk belajar tentang agama dan melaksanakan ibadah di pulau tersebut.

Keadaan Surau yang masih kurang kemudahan
(Mula dibangunkan pada awal tahun lalu melalui kutipan sumbangan daripada orang ramai dan telah siap sepenuhnya pada 3 bulan yang lalu)

Keadaan rumah penduduk yang serba dha'if
Bot-bot nelayan penduduk Pulau Sanghai

Saya dan Haji Hamzah bersama kanak-kanak
Di dalam Surau
(Sebelum bergerak ke Kampung Trunglit)
Bersambung...

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts