Tuesday, 15 December 2015

Ada Apa Dengan PAHU?

Assalamu'alaikum WBT,

Wah... Lama ndak buat entri blog. Kali ni baru ada semangat sikit mau menaip. Itupun sebab ada cerita yang ingin dikongsi setelah menamatkan sebuah pengembaraan di Negeri di Bawah Bayu.

Baru-baru ni saya jadi komiti program kelab MISI, Outreach to Kampung Pahu Series 2. Sebenarnya, saya ndak 'bersemangat' pun mau ikut program ni atas sebab sekarang ni sedang melalui semester akhir di UIA yang mana akhirnya berjaya juga saya habiskan program.

Kalau mau baca pasal program ni, boleh terus ke 'Re-Travelling to Sabah'. Farizul bererita tentang pengalamannya sepanjang program. Tapi dalam entri ni, saya akan bercerita berdasarkan sisi pandangan saya sebagai seorang anak jati Sabah yang sememangnya sayang dan cinta kepada negerinya sendiri. Chewah! haha


*Penulisan ni agak panjang, jadi perlu banyak masa. Ok, jom mengembara bersama blog ni.

Program kali ni dijalankan di daerah Ranau. Sebelum ni saya ada ikut program di Semporna dan satu di Sandakan (yang ni belum buat entri lagi. Mau cari masa untuk mengingat semula momen2 dalam program tu.haha). Boleh baca di sini.

Secara keseluruhannya, penduduk di Kampung Pahu ni semuanya Islam, kaum Kadazan/Dusun.

Ok, berbalik kepada cerita tentang OPAH ni. Hmmm...

Semangat Ansar

Antara kisah yang agak menyentuh hati sepanjang berprogram;


Kalau diikutkan, kami makan di rumah keluarga angkat tu sebenarnya bukan sebab 'melantak' sebagai tanda kelaparan tapi kami makan sebab masakan yang dihidangkan tu dimasak oleh keluarga angkat yang kami anggap sebagai keluarga sendiri.

Ya la, siapa yang ndak rasa sedap makan masakan ibu bapa sendiri walaupun hanya sekadar Telur Mata Kerbau + Kicap ?

Kerana rasa sedap tu lah buat kami 'terlupa' orang belakang (orang yang belum makan). Kena-kena pula orang di rumah jenis yang meraikan tetamu, nah! memang betul-betul melantak lah ceritanya.

Tapi lepas kejadian tu, kami lebih berhati-hati. Pastikan orang dalam rumah semua suda makan. Baru melantak habis-habisan terutamanya waktu akhir program. Menikmati sepuasnya 'air tangan' keluarga angkat, hahaha. Pengecualian untuk saya sebab keluarga angkat memang masak banyak lauk. Saya balik rumah tengah malam, melantak dulu sekejap, baru tidur.

Pesta Buah-Buahan

Ada juga keluarga angkat yang jadi penyumbang buah-buahan. Memang puas makan buah di Pahu sampaikan saya rasa ni bukan program kemasyarakatan ni, ini program jalan-jalan cari makan. Hahaha

Ni barulah namanya pesta makan buah

Buah kegemaran... TARAP !
Buah NONA dan KEDONDONG 
PISANG! (Abaikan iklan Bersamamu tu...)

Antara Supplier buah. Mimang disayang ni pacik. Hahaha 
Bercakap pasal makanan, ada satu perkara baru yang saya belajar daripada program tu tentang masakan orang kampung Pahu. Dorang masak mee goreng kosong macam tu jak, ndak letak bawang atau telur, tapi tahan lama (ndak bangas). Rupanya baru saya tau, suasana sejuk sebenarnya membantu proses 'pengawetan' makanan supaya tahan lama. Kalau simpan bawang, kan cepat bangas sebab bawang kuat baunya (ntah betul ka hipotesis ni). Wah... memang terbaikkk!

Tapi sayangnya ndak semua tempat suhunya macam di Pahu. Jadi, kaedah ni hanya terpakai di kawasan tanah tinggi... yang di bandar-bandar tu, lepas masak, habiskan makanannya. Kalau ndak nanti bangas, sayang jak, membazir....

Kisah di Sebalik Senyuman yang sentiasa mengiringi

Antara part yang agak meninggalkan kesan dalam perjalanan kali ini adalah kisah si Fuad.


Bukan apa, sebenarnya saya ada 'target' beberapa orang budak yang saya memang suka, mau sayang, sebab berkenan di hati. Tapi malangnya, saya ndak dipeduli. Hahaha. Ibaratnya bertepuk sebelah tangan la kiranya ni. Kecewa..

Tapi saya perasan, si Fuad ni, ke mana saya saya pergi, dia mesti ikut sampaikan saya rasa sedikit rimas. Hatta balik ke rumah keluarga angkat pun dia ikut. Mula-mula saya ndak peduli lagi dengan kewujudan si Fuad ni (jahat ba saya ni, hahaha) sebab saya anggap dia ni macam budak-budak lain yang suka ikut-ikut orang. Biasalah, program kan...

Tapi, yang saya tersentak masa program di sekolah tu. (Macam cerita dalam gambar tu). Lepas saya tau perkara tu, saya imbau balik senyumannya sepanjang kami saling mengenali. Saya tatap balik wajahnya selepas program. Terasa sedikit sayu di hati... Senyuman di sebalik wajahnya yang diam bermakna tu seakan-akan merobekkan hati saya yang kadang kala bersikap 'pilih kasih'.

Pengajarannya di sini, kasih sayang itu kadang kala sukar direncanakan daripada siapa ia datang. Hatta ia tidak hadir melalui paksaan atau permintaan. Ia datang dari hati sanubari yang tulus murni. Jadi, kalau ada yang sayangkan kita, kita jangan halang, itu perasaan dan hak dorang. Kalau kita mampu raikan, silakan. Kalau tidak, paling kurang pun, buat macam biasa-biasa jak. Jangan diabaikan terus. Sebagaimana kita tidak mahu perasaan kita disakiti, demikian juga dengan perasaan orang lain. Sama-sama saling meraikan dan menghargai. InsyaAllah selamat jiwa raga.

Kesungguhan dan Kesudian

Satu perkara yang buat saya rasa kagum dan terharu adalah kesungguhan rakan-rakan yang turut serta dalam program ni. Daripada 22 orang, hanya 6 orang yang Sabahan. Yang lain semua dari semenanjung. Saya sebenarnya ndak suka guna istilah semenanjung ni sebab bagi saya ia kurang manis disebut tapi sampai sekarang masih belum jumpa perkataan yang sesuai untuk menggantikannya.

Kesungguhan dan kesudian yang bagaimana tu?

Pada akhir program, kami ada buat ziarah ke rumah saudara baru di sekitar kawasan Kundasang. Macam sebelum-sebelum ni, saya join program di Pulau Mabul dan Sanghai yang mana rata-rata penduduknya memang asal Muslim. Cumanya tidak ramai orang yang boleh bantu dan bimbing dorang untuk kenal Islam.

Berbeza dengan Saudara Baru, dorang ni baru kenal Islam dan ada kesungguhan untuk mengamalkan Islam namun kerana kekangan keluarga yang mana sebahagiannya masih tetap dengan kepercayaan asal mereka (masih belum Islam) dan kekangan ekonomi, kehidupan mereka agak mencabar. Belum masuk lagi part ugut bunuh dan sebagainya (ni kes lain yang pernah berlaku).

Saya terfikir sejenak. dalam ketika warga Sabah sendiri tidak menghiraukan keadaan saudara-saudara seagama ini, kawan-kawan dari Semenanjung sanggup datang dari jauh dan sudi turun bersama-sama dalam program seperti ini. Kadang kala rasa malu pun ada. Sampaikan tidak terungkap bicara di bibir sebagai menggambarkan rasa berterima kasih yang sangat atas kesudian mereka bergerak ke sana sini, berpenat lelah demi menjejaki tempat-tempat yang orang lain tidak mampu dan tidak mahu menujunya.

Penat lelah itu, sungguh hanya Allah yang akan memberikan ganjarannya. Saya hanya mampu mengucapkan TERIMA KASIH BANYAK...

Hanya itu kata-kata sebagai tanda penghargaan meskipun serasa saya, kata-kata itu tidak dapat membalas kepenatan mereka sepanjang program.

Cumanya, saya selalu pesan kepada diri saya dan kawan-kawan Sabahan yang lain, berbaktilah di negeri sendiri kerana mereka lebih memerlukan kita. Apalah gunanya mengembara ke luar negeri kalau sedikitpun tidak mampu disumbangkan kepada masyarakat ni tanah sendiri? 

Bukankah berangkatnya kita ini membawa harapan orang-orang yang berharap akan pulangan daripada pengembaraan kita? Atau kita sekadar suka-suka saja mau jalan-jalan. Supaya dikenal orang bahawa kita ini berpelajaran tinggi, hebat, dan bermacam lagi bentuk pujian.

Ada orang yang tidak dikenal tapi sumbangannya, hanya Allah yang tahu betapa dia mengorbankan dirinya demi kemajuan saudaranya sendiri. Apatah lagi apabila yang berkorban itu bukan asalnya dari Sabah sendiri? Rasa malu tebal-tebal di dalam diri ini...

Salah sebuah rumah saudara baru yang diziarahi

Alhamdulillah, ada juga NGO yang prihatin dengan keadaan saudara baru di Sabah iaitu Hidayah Centre Sabah. Merekalah yang membawa kami berziarah ke rumah-rumah saudara baru di Sabah.

Perpustakaan Mini

Antara keunikan dalam program kali ni, pembinaan Perpustakaan Mini yang dibangunkan atas usaha penduduk kampung Pahu sendiri yang mahir dalam bidang pertukangan. Kesungguhan dan kerjasama yang dipamerkan (ceh, macam ayat dalam berita pula) oleh penduduk kampung cukup mengagumkan. Inilah antara keistimewaan penduduk di kawasan kampung. Ikatan sesama dorang agak erat seperti keluarga, bahkan pak Imam sendiri bagitau, kebanyakan penduduk di Pahu adalah berkeluarga.

Mula-mula buat lantai dulu...



Tulang-tulangnya...


Sebahagian Dinding dan Atap


70%...


Proses Mengecat...



*Time Lapse by Farizul Ikhmal

Hiasan Dalaman...



Senyum Seindah Suria, Yang Membawa Cahaya, Senyumlah dari Hati, Duniamu Berseri... 

Final Touch Up dijayakan oleh mereka. Terserlah sinar kebahagiaan di wajah masing-masing. 

Tadaaa...



Siap akhirnya dalam masa EMPAT HARI saja.

Hahaha. Rancangnya, kalau ada siri akan datang, boleh tambah bahan bacaan di dalam perpustakaan mini tu.

Selamat Jalan

Dalam mana-mana program sekalipun, bila ada pertemuan, pasti ada perpisahan. Ada orang, pada awal program, mau betul dia balik awal. Sebabnya takut berhadapan dengan perkara yang akan datang. Tapi setelah dia melalui hari-hari sukar sepanjang program, mau pula dia menambah hari. Hahaha.

Itulah bilang orang. Ndak kenal maka ndak cinta... Sudah kenal baru tau, mau tinggal di Pahu. Siap ada perancangan masa hadapan lagi. Hahaha.

Sebenarnya part 'Selamat Tinggal' ni sebelum program di sekolah tapi saya saja letak ndak ikut susunan sebabnya secara keseluruhan, perpisahan program kali ni bermula di Kampung Pahu.

Agak berat juga sebenarnya meninggalkan kampung Pahu apatah lagi keluarga angkat yang begitu berbesar hati menerima kami sebagai sebahagian daripada keluarga mereka. Namun, itulah adat pertemuan yang pasti disusuli dengan perpisahan. Perpisahan dengan penduduk kampung khususnya keluarga angkat yang mungkin, selepas ini belum tentu dapat bertemu lagi...


Wajah-wajah yang riang itu sebenarnya menyimpan sedikit hiba tatkala tamatnya sesi gambar bergambar. Ya la, orang paling macho pun bercucuran juga air mata membasahi pipi, inikan pula yang dalam hati dorang sejak azali sudah ada taman-taman bunga.

Tapi sebenarnya kawan-kawan dalam program ni memiliki hati 'Seteguh Karang' (siapa ingat tajuk ni memang dia lah legend). Bab nangis tu sekejap jak. Biasalah, manusia biasa mesti nangis tapi sebenarnya air mata yang mengalir tu cukup melegakan perasaan sebak yang terkumpul di dada. Sebab tu kita rasa lega lepas menangis.


Penulis bersama Mak Angkat... 

Program Motivasi di Sekolah

Bericara soal pendidikan anak-anak sekolah rendah, sudah pasti banyak harapan yang ingin disampaikan. Namun, dalam ruangan yang terhad ini, saya cuma dapat sampaikan coretan yang pernah saya karang suatu ketika dahulu yang mana ia menggambarkan keadaan yang dilalui oleh sebahagian anak-anak Pahu. Coretan buat bakal pendidik di negeriku – Firdani Adam


Tiada siapa yang tahu apa kisah di sebalik wajah-wajah yang berdiri di hadapan kami pada hari itu. Yang nyata hanya pada zahirnya, cara pemakaian dan sikap yang ditunjukkan...

Akhir Kata...

Oh ya, sebelum terlupa, ada satu event yang buat saya lucu sampai sekarang. Ada satu event tu, ada Pakistan datang mau beli kambing. Saya ingatkan dia mau jual kain. Sekali dia bercakap, neh, sleng Dusun dia punya pekat. Dia bilang kurang lebih macam begini la;

"Saa mau cari itu Imam yang jual kambing. Saa mau beli"

Bulih tahan! Hahaha

Inilah dia kambing yang dicarinya. hahaha 

Akhir Kata yang Paling Akhir...

Ni antara rangkuman memori yang tergambar di dalam kamera selepas tamat program OPAH. (Mau letak gambar yang lain tapi banyak betul, haha).

Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu di Desa Dairy Farm Kundasang 
Berangkat pulang ke Rumah Kedua...

Di KKIA Terminal 2
Semoga pengembaraan kali ini menambah semangat rakan-rakan dalam program ini untuk menjalankan siri yang seterusnya. Dan yang pasti, kedatangan anda sentiasa dialu-alukan di Negeri Di Bawah Bayu. :)

Rangkuman pengalaman yang dilalui bersama tidak mungkin kan dapat dilupakan. Meski tidak diungkap dengan bicara, ia tetap segar di dalam ingatan. 

Sungguh, pengembaraan selama lebih kurang seminggu ini menyimpan banyak kenangan yang mungkin akan terus subur di dalam ingatan. Kalaupun terlupa, mungkin boleh bertandang ke blog ni. Suatu masa nanti... Jadi tatapan anak cucu barangkali. Bahawa ini adalah antara episod pengembaraan sewaktu masih muda dahulu kala.

Kalau kita mau kenal seseorang, keluarlah (bermusafir) dengannya selama 3 hari. Tapi kalau lebih 3 hari? 4? 5? atau 6? Sungguh, nikmatnya berukhuwwah ini bukan diukur pada tempoh masa. Ia akan dirasai oleh mereka-mereka yang melalui pengalaman sepanjang bersama. Chemistry, itulah dia kuncinya.

Ia tidak dibuat-buat mahupun dipaksa. Ia tertaut dengan semulajadi. Rasa kasih dan sayang terhadap sahabat-sahabat yang bermakna dalam hidup.


Itulah dia dinamakan kenangan. Jauh di mata, bukan bermakna jauh di hati. Kejauhan hanya menguji sekuat mana kita mempertahankan ikatan yang sedia terjalin meski insan-insan tersebut tidak ada di hadapan mata.



Maksud 'membiarkan sesuatu yang terisi kembali kosong' bukan bermakna membuang segala kenangan yang ada tetapi sangat sukar untuk kita 'melepaskan sesuatu yang amat berharga dalam hidup' sehingga membuatkan kita sukar untuk melangkah. Kerana terlalu sayangkannya...

Walau apapun, kenangan sepanjang di kampung PAHU akan terus tersimpan di dalam ingatan... Mungkin suatu masa nanti, akan bertandang semula ke sana?


Suasana yang mendamaikan hati sanubari 

Hati ini kembali terdetik untuk menyunting catatan ini kerana serasanya masih ada yang 'kurang' dengan catatan yang sebelumnya. Alhamdulillah, akhirnya punya kekuatan untuk bercerita pengalaman ini dengan penuh tumpuan.

Semoga catatan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Ada lagi yang ingin dikongsikan terutamanya gambar-gambar tapi mungkin pada lain hari dan kesempatan, InsyaAllah.

Terima Kasih kerana sudi menjadi sebahagian daripada sejarah yang bermakna dalam hidup ini.

Sekian,

Wassalam...

No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts