Tuesday, 14 April 2015

Aiskrim RM1 Giant dan Pisang Goreng Kim Fung

Mengingati zaman persekolahan suatu ketika dahulu, zaman saya dan kawan-kawan akan pulang daripada sekolah dengan berjalan kaki. Sangat banyak peristiwa yang masih terpahat dalam memori.


Biasanya, belanja sekolah hanya diberikan RM2 yang mana akan digunakan untuk tambang pergi dan balik dari sekolah. Tambang masa tu 50sen seperjalanan. Masih murah. Ya la, tahun sebelum 2010.

RM1 untuk tambang, masih ada baki RM1. Kebiasaannya, saya dan kawan-kawan akan berjalan kaki daripada sekolah ke jalan utama, sebab kalau mau naik bas dari sekolah ada dua perkara yang perlu diambil perhatian. Pertama, bas lambat, maka menunggu pun jadi lama. Kedua, dari sekolah ke jalan utama pun bertambang 50sen.

Daripada bayar tambang bas hanya untuk ke jalan utama, bagus jalan kaki yang jaraknya ndak pun sampai 3KM. Dengan beg yang sarat dengan buku-buku teks, dengan sinaran matahari yang terik, digagahi juga berjalan kaki sampai ke destinasi. Mengalahkan latihan tentera! hahaha

Dalam perjalanan tu, bermacam peristiwa yang berlaku. Dan sudah tentu ada gelak tawa, tidak kurang juga nangisnya. Biasalah, zaman-zaman remaja, semua pun dilalui. Apatah lagi dengan kawan-kawan yang kita anggap sebagai rapat dan penting dalam hidup.

Aiskrim RM 0.99


Bila sudah sampai di jalan utama, tempat yang akan kami singgah, GIANT BATU 6, SANDAKAN. Dengan duit baki RM1 tu kami beli aiskrim Kings yang berharga RM 0.99 masa tu, hahaha. Kiranya sebagai Self-reward la setelah berpenat lelah jalan jauh. Dan memang itu antara sebab utama kami jalan kaki dari sekolah ke jalan utama. Simpan RM1 untuk beli aiskrim dan makan bersama-sama sambil bercerita kisah masing-masing. ;)

Pisang Goreng Kim Fung

Ada sesetengah keadaan tu, kami berkesempatan untuk tumpang kereta guru-guru untuk ke Batu 4 Bandar Kim Fung. Ada apa di Bandar Kim Fung?


Haaaaa... Namanya saja Cina, tapi dalam pasar ni ada juga gerai orang bukan Cina. Kami selalu tumpang kereta Cikgu Azhar Zahidi, guru Matematik kami sewaktu tingkatan 4 dan 5. Juga 'Mastermind' bagi kami. hahahaha

Ok la, berbalik kepada pasar Kim Fung. Ada gerai makcik yang jual Pisang Goreng dan Mee Goreng. Kami ni boleh dikatakan sebagai regular customer. Jadi kadang-kala dibagi lebih pisang, campur dengan susu junjug (pekat manis), PERGHHH!

Self-reward bagi penumpang kereta guru macam kami. hahaha.

Sambil singgah ke kedai komputer, kedai audio kereta, banyak berjalan lah zaman remaja ni.

Berjalan kaki sewaktu pulang ke Sekolah menyihatkan tubuh badan pelajar. Hipotesis pelajar Sains Tulen yang tidak tulen pun sainsnya. Hahaha.

Ni antara rangkuman pengalaman yang masih tersemat di dalam ingatan. Banyak perkara yang kami bincangkan yang saya sendiri tidak dapat ingat semuanya. Tujuannya dicoretkan di dalam blog ni adalah sebagai suatu bacaan bila sampai satu masa memori-memori zaman persekolahan dahulu mulai kabur dari ingatan, ada juga yang boleh dibaca.

Mungkin sebagai tatapan bacaan oleh anak-anak kami nanti? Mungkin la. Supaya mereka juga dapat bersahabat sebagaimana bapa-bapa mereka ini bersahabat... ;)

Saturday, 18 October 2014

Erti Pengorbanan...


Entri pada kali ini menceritakan tentang seorang insan yang saya rasa amat saya kagumi, dan melalui penceritaan ini sahaja rasanya cara untuk saya menterjemahkan rasa kagum itu, supaya boleh diambil pengajaran oleh orang lain.

Eya, orangnya cuma biasa-biasa saja. Tetapi kisah hidupnya agak luar biasa.

Maka, bermulanya cerita ini, kami berkenalan sewaktu kerja part-time di restoran Pizza Hut Giant, Sandakan. Ketika itu masih sama-sama berada di tingkatan 6, persediaan sebelum mengambil peperiksaan STPM. Serasanya kami pernah bertemu sebelum itu lagi dalam satu program yang saya juga sudah lupa program apa.

Seorang yang ceria, sentiasa bersemangat dalam berkerja, membuat orang lain mudah merasa ‘senang’ kepadanya. Itulah dia orangnya. Keluarganya biasa-biasa sahaja, punya adik-beradik yang ramai. Sepanjang perkenalan itu, tidak ada sebarang masalah yang berlaku bahkan sepertinya kami adik-beradik dan juga rakan sekerja.

Selepas menduduki peperiksaan STPM, maka kami pun masing-masing berkerja. Ketika itu saya berkhidmat sebagai seorang Pengawal Keselamatan dengan gaji yang agak rendah, kira-kira RM300 sebulan. Dia pula? Saya juga tidak berapa ingat, mungkin kerana memori lama itu sukar untuk diingati.

Masuk UIA Gombak

Akhirnya keputusan UPU keluar pada tahun 2011, dan Alhamdulillah, kami berjaya mendapat tempat di salah sebuah IPTA. Dia mengambil jurusan Ekonomi manakala saya pula berkecimpung dalam bidang Sains Kemanusiaan. Oh, sebelum terlupa, dia anak sulung. =)

Sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar IPT, seperti biasa lah, semuanya ok saja. Dia dengan sifatnya yang ceria, membuatkan orang di sekelilingnya juga turut terkesan dengan keceriaan itu. Pada awalnya, kami selalu bertemu, memandangkan sama-sama terkandas di CELPAD, hahaha. Namun, sejak masuk ke kuliah, kami agak jarang untuk bertemu. Eyalah, masing-masing sibuk dengan pengajian masing-masing tapi semuanya masih dalam keadaan terkawal, masih meneruskan kegembiraan di sebalik kesibukan yang melanda.

Pengorbanan seorang Anak Sulung

Ada satu masa tu, dia bertanya pandangan saya, tentang kalau dia berhenti belajar dan berkerja sebagai kakitangan kerajaan, memandangkan ketika itu dia baru sahaja mendapat panggilan temuduga daripada SPA8. Saya agak kurang bersetuju dengan pilihannya kerana dia masih tinggal 3 tahun sahaja sebelum menghabiskan pengajian, namun, satu perkara yang buat saya tersentap tatkala dia mengatakan tentang tanggungjawabnya sebagai seorang anak sulung.

Saya terdiam, tidak ada bicara yang dapat diungkapkan melainkan hanya menerima pilihan itu dengan hati yang terbuka. Besar sungguh jiwanya berkorban demi kedua orang tua dan adik-beradiknya. Saya bukan apa, risaukan tentang pelajarannya, memandangkan kami sama-sama masuk ke UIA, kalau boleh biarlah pula kami sama-sama pulang ke kampung halaman tercinta, Sandakan dengan segenggam sijil.

Pernah bapanya berkata, 

“kau tengok-tengokkan dia ya, kamu tu macam adik-beradik, kalau ada apa-apa, kamu lah bertolong-tolongan.”

Saya hanya tersenyum ketika itu sambil mengangguk. Sebuah kepercayaan yang diberikan kepada saya daripada bapa seorang kawan. Sungguh, kepercayaan itulah yang membuatkan saya risau kepadanya tatkala dia berkeputusan untuk mengundurkan diri daripada pengajiannya.

Begitu Rupanya Dia…

Hari Raya Aidilfitri tahun 2012 kalau tidak silap, saya berkunjung ke rumahnya bersama dengan geng keras, Ikmal dan Adli. Sambil menjamu hidangan yang disediakan, bercerita juga dengan bapanya. Yang masak semua lauk tu dia, yang menjahit pakaian adik-adiknya juga dia, buat kek juga dia. Kalau bukan kerana malam tu perut sudah tidak mampu diisi, memang saya habiskan kek Cheese yang dia buat. Memang sedap.

Daripada situ saya memahami kenapa dia mengambil keputusan itu. Eya, keputusan yang agak sayang apabila berkait dengan pelajaran tetapi dalam pada masa yang sama, keputusan itu juga lah yang memberikan kesenangan kepada ahli keluarganya. Cukup kagum. Tidak semua orang berani mengambil pendirian sebegitu apatah yang dikorbankan itu masa hadapan diri sendiri.

Mengenali dirinya sudah cukup mengajar diri ini tentang erti pengorbanan. Saya pasti, kedua orang tuanya tidak bersetuju kepadanya namun, dia tetap dengan pilihannya demi orang tua dan adik-adik yang dikasihinya.

Tidak banyak yang dapat saya bantu pada hari terakhirnya di UIA. Yang ada ketika itu hanyalah sahabat saya Fathi yang juga bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah bersama dengannya dan seorang kawan yang sama-sama berurusan untuk meninggalkan kampus Gombak.

Kini…

Baru mendapat khabar berita akan dia bakal bernikah. Alhamdulillah, moga dipermudahkan urusannya, diberi kebahagiaan di dunia jua di akhirat. Ingin sahaja diri ini berkata; “untung dapat isteri macam dia…” namun itu semua hanya mampu diungkapkan melalui tulisan yang bertaip ini. Dia adalah antara insan yang banyak mengajar saya erti kehidupan sepanjang perkenalan kami.

Moga keceriaannya itu akan terus terukir di wajahnya. Hanya itu sahaja yang dapat saya harapkan. Sekadar coretan, tribut seorang insan yang sudah kenal erti pengorbanan sebenar

Sunday, 27 April 2014

Novel Cinta ke Novel Cinta Islamik dan REMAJA

Seseorang itu adalah apa yang dia baca, sama seperti pepatah inggeris “you are what you eat”. Bahan bacaan secara logiknya merupakan bahan makanan kepada otak bahkan bahan bacaan itulah yang akan membentuk cara seseorang itu berfikir. Sebab itu kenapa kita dapat melihat kini bermacam ragam dan cara orang berfikir dan memberikan pendapat mereka. Semuanya bergantung kepada bahan bacaan yang telah mereka hadam di dalam kepala mereka. 

Itu sebagai muqaddimah sebelum saya meneruskan penulisan ke isi utama. Macam buat karangan SPM pula, hehehe. 

Ok lah, ndak mau terlalu serius sangat, sekadar membuat penulisan santai yang dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat, tidak terlalu akademik dan seperti biasa, ianya bersumberkan pendapat peribadi dan sedikit input yang berkaitan dengan pengalaman penulis sendiri.

Kali ini, terdetik di dalam benak fikiran untuk menulis tentang NOVEL yang kini menjadi kegilaan golongan muda remaja, bahkan telah menjadi hobi bagi sebahagian orang a.k.a. peminat novel... 

Apa dia yang dimaksudkan dengan NOVEL? Hahaha, carilah sendiri. Malas mau bagi definisinya dalam ni. :p 

Ok lah, terus kepada fokus utama iaitu Novel Cinta ke Novel Cinta Islamik...? 

Yang mana satu pilihan anda? 

Jawapannya adalah bergantung kepada anda sebenarnya orang yang bagaimana. Kalau ada latar belakang pendidikan Islam, maka secara umumnya akan memilih *NCI, manakala yang sekadar belajar di sekolah biasa, maka NC yang akan menjadi pilihan. Tapi ini secara umum saja. Tidak sepenuhnya seperti apa yang saya nyatakan. Sekali lagi, bergantung kepada siapa anda... Misteri ~ 

[*NCI=Novel Cinta Islamik, NC=Novel Cinta] 

Antara Novel terbitan Alaf 21 yang terlaris

Membentuk Cara Berfikir 

Kenapa pena lebih tajam daripada mata pedang? Rasanya semua ada jawapan masing-masing tetapi kalau saya jawab pula macam ni, sebab mata pedang hanya mampu menamatkan sebuah kehidupan tetapi mata pena dapat memulakan sebuah kehidupan, bukan seorang, tetapi ramai. Bergantung kepada jumlah mereka yang membaca penulisan tersebut dan sejauh mana mereka terpengaruh dengan penulisan tersebut. Bahan makanan kepada otak akan membentuk cara berfikir seseorang. Sebab itu kenapa ada orang Islam sendiri yang menulis sirah para Sahabat melalui kaca mata periwayatan Syi’ah. Hah, isu ni akan dibahaskan pada penulisan yang lain nanti, insyaAllah... 

Lalu, apa yang menjadi kerisauan tentang novel ini sebenarnya? 

Kita kembali bertanya, tentang generasi pada masa akan datang... 

Kalau kita ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah generasi mudanya masa ini.” 

Kalau generasi mudanya kini hanyut dengan cerita-cerita cinta, maka bagaimana pula masa hadapan negara kita nanti yang bakal dipimpin oleh mereka? Adakah generasi akan datang akan menjadi generasi yang ‘lembik’ dengan cintan-cintun atau bagaimana? 

Novel Cinta Islamik 


NCI yang paling popular suatu ketika dahulu
NCI kini semakin mendapat tempat di pasaran sama seperti NC yang telah sedia ada. Maka jangan hairan kalau ada sahaja budak sekolah menengah, hatta sekolah rendah terlibat dengan masalah cinta bahkan bukan budak biasa, budak sekolah agama pun tidak terlepas daripada jerat cinta monyet yang mereka istilahkan sebagai CINTA ISLAMIK. 

Kalau diikutkan, sebenarnya bukan hanya novel yang menjadi punca kepada berlakunya masalah cinta remaja atau dapat diistilahkan sebagai Cinta Monyet, media massa seperti televisyen juga merupakan penyumbang utama kepada permasalahan ini. Cumanya penulisan kali ini tertumpu kepada Novel kerana apa yang dapat diperhatikan oleh penulis sendiri rata-rata peminat novel ini akan terpengaruh kepada novel yang mereka telah baca. 

Kembali kepada persoalan Cinta Remaja yang melibatkan NCI. Pada pandangan saya sendiri, bukan salah NOVEL ataupun salah REMAJA itu sendiri apabila mereka terjebak ke dalam kancah Cinta Islamik ini tetapi ia berlaku kerana keadaan yang berlaku pada masa ini. Kewujudan NCI menjadi tumpuan para remaja untuk membentuk Cinta Monyet mereka supaya kelihatan ISLAMIK dan diterima oleh orang lain sebagai Cinta Diterima, bukan ‘Cinta Terlarang’. Jiwa remaja yang masih mencari identiti diri, ingin mencuba sesuatu yang baharu, masih belum kenal erti realiti sebenar. Apa yang mereka bayangkan hanyalah keindahan cinta Islamik seperti yang tergambar di dalam novel. 

Kalau bukan salah NCI dan Remaja, apa masalah sebenarnya? 

KOMPAS sebagai pemandu dalam perjalanan 


Sepertimana kita memerlukan panduan makanan kesihatan untuk mendapatkan hasil yang terbaik bagi tubuh badan, demikian jugalah halnya dengan panduan bahan bacaan. Mungkin, NCI ini adalah sebagai ‘counter attack’ kepada NC yang sedia ada di pasaran supaya golongan peminat novel ini khsusnya golongan dewasa memahami erti cinta yang berlandaskan syariat Islam, bukan seperti acuan Sekular yang menghalalkan segalanya demi matlamat. Itulah yang saya lihat setakat ini tentang tujuan kewujudan NCI bahkan ia berperanan besar dalam merubah pemikiran dan gaya berfikir golongan sasaran daripada non-Islamik kepada yang lebih Islam. 

Cumanya, apabila bahan bacaan ini ‘terlepas’ ke tangan golongan remaja yang pada masa yang sama masih bertatih mencari erti cinta yang sedang bermain di dalam jiwa mereka. Maka, bertemulah mereka dengan ‘kaedah terbaik’ untuk mengekspresikan cinta mereka. Ditambah lagi dengan kemunculan poster-poster islamik yang sedikit sebanyak mempengaruhi golongan remaja ini, lalu menjadilah Cinta Islamik mereka. Daya imaginasi para remaja yang amat tinggi membuatkan mereka berfikir tentang keindahan CINTA semata seperti yang mereka lihat di kaca televisyen kemudian dibentuk mengikut acuan Cinta Islamik yang mereka bayangkan... 

Golongan remaja ini seharusnya diberikan KOMPAS sebagai panduan mereka untuk memilih bahan bacaan yang sesuai dengan usia mereka. Peranan ibu bapa amat penting dalam hal ini kerana pembentukan anak-anak itu bermula daripada rumah walaupun sebahagian besar masa anak-anak ini dihabiskan di sekolah pada waktu pagi demikian juga ibu bapa yang bekerja sehingga lewat petang baru balik ke rumah. 

Sebab itu kenapa kita selalu melihat ada anak-anak yang tidak pernah terlibat dengan masalah cinta. Mungkin kerana pembentukan awal yang diberikan oleh ibu bapa menjadikan anak-anak mereka lebih cenderung kepada perkara lain selain daripada berminat tentang cinta. Namun, harus saya akui di sini bahawa ada kalanya golongan remaja ini masih terlibat dengan masalah cinta walaupun mereka telah dididik di rumah adalah disebabkan oleh faktor persekitaran dan rakan sebaya. 

KOMPAS awal adalah Ibu Bapa. Mencorakkan pemikiran anak-anak mereka melalui bahan bacaan. Itulah jalan yang terbaik. 



Kesimpulan 

Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Membentuk pemikiran anak-anak biarlah dari usia kecilnya.” 

Bukan salah NCI, bukan pula salah Remaja. Yang perlu diperbaiki adalah bagaimana untuk memastikan golongan remaja ini mendapat bahan bacaan yang sepatutnya bagi mereka, namun diakui, ia amat payah. 

Kenapa saya menulis artikel ini? Kerana pada awalnya saya menyalahkan NCI itu sendiri sebagai penyebab kepada berlakunya masalah Cinta Islamik dalam kalangan remaja. Tetapi, setelah mengamati keadaan yang berlaku, barulah saya faham bahawa kedua-duanya tidak salah. Ada yang perlu diperbaiki di antara keduanya. Dalam hal ini, saya melihat, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka mendapat input yang sepatutnya berdasarkan Kompas yang mereka jadikan panduan. 

Saya kagum dengan remaja yang pada usia mudanya sudah begitu bersemangat berjuang untuk agama. Berbeza dengan saya sendiri yang agak lama terus hanyut dalam arus Cinta Monyet yang akhirnya membawa kepada beberapa siri kegagalan dan mengecewakan...

Saturday, 19 April 2014

Sifat Kucing - Kepercayaan dan Kesetiaan

Entri kali ni pula berkisar tentang SIFAT kucing yang saya nampak sepanjang saya melalui kehidupan bersama dengan kucing-kucing yang ada di sekeliling saya sendiri. Kiranya ni semua pengalaman saya sendiri la.

Antara sifat kucing yang akan saya kongsikan secara ringkas dalam entri kali ini adalah;

1. Sense of TRUST
2. Sifat yang TIDAK SETIA
3. Kucing Hilang?

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts