Saturday, 18 October 2014

Erti Pengorbanan...


Entri pada kali ini menceritakan tentang seorang insan yang saya rasa amat saya kagumi, dan melalui penceritaan ini sahaja rasanya cara untuk saya menterjemahkan rasa kagum itu, supaya boleh diambil pengajaran oleh orang lain.

Eya, orangnya cuma biasa-biasa saja. Tetapi kisah hidupnya agak luar biasa.

Maka, bermulanya cerita ini, kami berkenalan sewaktu kerja part-time di restoran Pizza Hut Giant, Sandakan. Ketika itu masih sama-sama berada di tingkatan 6, persediaan sebelum mengambil peperiksaan STPM. Serasanya kami pernah bertemu sebelum itu lagi dalam satu program yang saya juga sudah lupa program apa.

Seorang yang ceria, sentiasa bersemangat dalam berkerja, membuat orang lain mudah merasa ‘senang’ kepadanya. Itulah dia orangnya. Keluarganya biasa-biasa sahaja, punya adik-beradik yang ramai. Sepanjang perkenalan itu, tidak ada sebarang masalah yang berlaku bahkan sepertinya kami adik-beradik dan juga rakan sekerja.

Selepas menduduki peperiksaan STPM, maka kami pun masing-masing berkerja. Ketika itu saya berkhidmat sebagai seorang Pengawal Keselamatan dengan gaji yang agak rendah, kira-kira RM300 sebulan. Dia pula? Saya juga tidak berapa ingat, mungkin kerana memori lama itu sukar untuk diingati.

Masuk UIA Gombak

Akhirnya keputusan UPU keluar pada tahun 2011, dan Alhamdulillah, kami berjaya mendapat tempat di salah sebuah IPTA. Dia mengambil jurusan Ekonomi manakala saya pula berkecimpung dalam bidang Sains Kemanusiaan. Oh, sebelum terlupa, dia anak sulung. =)

Sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar IPT, seperti biasa lah, semuanya ok saja. Dia dengan sifatnya yang ceria, membuatkan orang di sekelilingnya juga turut terkesan dengan keceriaan itu. Pada awalnya, kami selalu bertemu, memandangkan sama-sama terkandas di CELPAD, hahaha. Namun, sejak masuk ke kuliah, kami agak jarang untuk bertemu. Eyalah, masing-masing sibuk dengan pengajian masing-masing tapi semuanya masih dalam keadaan terkawal, masih meneruskan kegembiraan di sebalik kesibukan yang melanda.

Pengorbanan seorang Anak Sulung

Ada satu masa tu, dia bertanya pandangan saya, tentang kalau dia berhenti belajar dan berkerja sebagai kakitangan kerajaan, memandangkan ketika itu dia baru sahaja mendapat panggilan temuduga daripada SPA8. Saya agak kurang bersetuju dengan pilihannya kerana dia masih tinggal 3 tahun sahaja sebelum menghabiskan pengajian, namun, satu perkara yang buat saya tersentap tatkala dia mengatakan tentang tanggungjawabnya sebagai seorang anak sulung.

Saya terdiam, tidak ada bicara yang dapat diungkapkan melainkan hanya menerima pilihan itu dengan hati yang terbuka. Besar sungguh jiwanya berkorban demi kedua orang tua dan adik-beradiknya. Saya bukan apa, risaukan tentang pelajarannya, memandangkan kami sama-sama masuk ke UIA, kalau boleh biarlah pula kami sama-sama pulang ke kampung halaman tercinta, Sandakan dengan segenggam sijil.

Pernah bapanya berkata, 

“kau tengok-tengokkan dia ya, kamu tu macam adik-beradik, kalau ada apa-apa, kamu lah bertolong-tolongan.”

Saya hanya tersenyum ketika itu sambil mengangguk. Sebuah kepercayaan yang diberikan kepada saya daripada bapa seorang kawan. Sungguh, kepercayaan itulah yang membuatkan saya risau kepadanya tatkala dia berkeputusan untuk mengundurkan diri daripada pengajiannya.

Begitu Rupanya Dia…

Hari Raya Aidilfitri tahun 2012 kalau tidak silap, saya berkunjung ke rumahnya bersama dengan geng keras, Ikmal dan Adli. Sambil menjamu hidangan yang disediakan, bercerita juga dengan bapanya. Yang masak semua lauk tu dia, yang menjahit pakaian adik-adiknya juga dia, buat kek juga dia. Kalau bukan kerana malam tu perut sudah tidak mampu diisi, memang saya habiskan kek Cheese yang dia buat. Memang sedap.

Daripada situ saya memahami kenapa dia mengambil keputusan itu. Eya, keputusan yang agak sayang apabila berkait dengan pelajaran tetapi dalam pada masa yang sama, keputusan itu juga lah yang memberikan kesenangan kepada ahli keluarganya. Cukup kagum. Tidak semua orang berani mengambil pendirian sebegitu apatah yang dikorbankan itu masa hadapan diri sendiri.

Mengenali dirinya sudah cukup mengajar diri ini tentang erti pengorbanan. Saya pasti, kedua orang tuanya tidak bersetuju kepadanya namun, dia tetap dengan pilihannya demi orang tua dan adik-adik yang dikasihinya.

Tidak banyak yang dapat saya bantu pada hari terakhirnya di UIA. Yang ada ketika itu hanyalah sahabat saya Fathi yang juga bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah bersama dengannya dan seorang kawan yang sama-sama berurusan untuk meninggalkan kampus Gombak.

Kini…

Baru mendapat khabar berita akan dia bakal bernikah. Alhamdulillah, moga dipermudahkan urusannya, diberi kebahagiaan di dunia jua di akhirat. Ingin sahaja diri ini berkata; “untung dapat isteri macam dia…” namun itu semua hanya mampu diungkapkan melalui tulisan yang bertaip ini. Dia adalah antara insan yang banyak mengajar saya erti kehidupan sepanjang perkenalan kami.

Moga keceriaannya itu akan terus terukir di wajahnya. Hanya itu sahaja yang dapat saya harapkan. Sekadar coretan, tribut seorang insan yang sudah kenal erti pengorbanan sebenar

Sunday, 27 April 2014

Novel Cinta ke Novel Cinta Islamik dan REMAJA

Seseorang itu adalah apa yang dia baca, sama seperti pepatah inggeris “you are what you eat”. Bahan bacaan secara logiknya merupakan bahan makanan kepada otak bahkan bahan bacaan itulah yang akan membentuk cara seseorang itu berfikir. Sebab itu kenapa kita dapat melihat kini bermacam ragam dan cara orang berfikir dan memberikan pendapat mereka. Semuanya bergantung kepada bahan bacaan yang telah mereka hadam di dalam kepala mereka. 

Itu sebagai muqaddimah sebelum saya meneruskan penulisan ke isi utama. Macam buat karangan SPM pula, hehehe. 

Ok lah, ndak mau terlalu serius sangat, sekadar membuat penulisan santai yang dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat, tidak terlalu akademik dan seperti biasa, ianya bersumberkan pendapat peribadi dan sedikit input yang berkaitan dengan pengalaman penulis sendiri.

Kali ini, terdetik di dalam benak fikiran untuk menulis tentang NOVEL yang kini menjadi kegilaan golongan muda remaja, bahkan telah menjadi hobi bagi sebahagian orang a.k.a. peminat novel... 

Apa dia yang dimaksudkan dengan NOVEL? Hahaha, carilah sendiri. Malas mau bagi definisinya dalam ni. :p 

Ok lah, terus kepada fokus utama iaitu Novel Cinta ke Novel Cinta Islamik...? 

Yang mana satu pilihan anda? 

Jawapannya adalah bergantung kepada anda sebenarnya orang yang bagaimana. Kalau ada latar belakang pendidikan Islam, maka secara umumnya akan memilih *NCI, manakala yang sekadar belajar di sekolah biasa, maka NC yang akan menjadi pilihan. Tapi ini secara umum saja. Tidak sepenuhnya seperti apa yang saya nyatakan. Sekali lagi, bergantung kepada siapa anda... Misteri ~ 

[*NCI=Novel Cinta Islamik, NC=Novel Cinta] 

Antara Novel terbitan Alaf 21 yang terlaris

Membentuk Cara Berfikir 

Kenapa pena lebih tajam daripada mata pedang? Rasanya semua ada jawapan masing-masing tetapi kalau saya jawab pula macam ni, sebab mata pedang hanya mampu menamatkan sebuah kehidupan tetapi mata pena dapat memulakan sebuah kehidupan, bukan seorang, tetapi ramai. Bergantung kepada jumlah mereka yang membaca penulisan tersebut dan sejauh mana mereka terpengaruh dengan penulisan tersebut. Bahan makanan kepada otak akan membentuk cara berfikir seseorang. Sebab itu kenapa ada orang Islam sendiri yang menulis sirah para Sahabat melalui kaca mata periwayatan Syi’ah. Hah, isu ni akan dibahaskan pada penulisan yang lain nanti, insyaAllah... 

Lalu, apa yang menjadi kerisauan tentang novel ini sebenarnya? 

Kita kembali bertanya, tentang generasi pada masa akan datang... 

Kalau kita ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah generasi mudanya masa ini.” 

Kalau generasi mudanya kini hanyut dengan cerita-cerita cinta, maka bagaimana pula masa hadapan negara kita nanti yang bakal dipimpin oleh mereka? Adakah generasi akan datang akan menjadi generasi yang ‘lembik’ dengan cintan-cintun atau bagaimana? 

Novel Cinta Islamik 


NCI yang paling popular suatu ketika dahulu
NCI kini semakin mendapat tempat di pasaran sama seperti NC yang telah sedia ada. Maka jangan hairan kalau ada sahaja budak sekolah menengah, hatta sekolah rendah terlibat dengan masalah cinta bahkan bukan budak biasa, budak sekolah agama pun tidak terlepas daripada jerat cinta monyet yang mereka istilahkan sebagai CINTA ISLAMIK. 

Kalau diikutkan, sebenarnya bukan hanya novel yang menjadi punca kepada berlakunya masalah cinta remaja atau dapat diistilahkan sebagai Cinta Monyet, media massa seperti televisyen juga merupakan penyumbang utama kepada permasalahan ini. Cumanya penulisan kali ini tertumpu kepada Novel kerana apa yang dapat diperhatikan oleh penulis sendiri rata-rata peminat novel ini akan terpengaruh kepada novel yang mereka telah baca. 

Kembali kepada persoalan Cinta Remaja yang melibatkan NCI. Pada pandangan saya sendiri, bukan salah NOVEL ataupun salah REMAJA itu sendiri apabila mereka terjebak ke dalam kancah Cinta Islamik ini tetapi ia berlaku kerana keadaan yang berlaku pada masa ini. Kewujudan NCI menjadi tumpuan para remaja untuk membentuk Cinta Monyet mereka supaya kelihatan ISLAMIK dan diterima oleh orang lain sebagai Cinta Diterima, bukan ‘Cinta Terlarang’. Jiwa remaja yang masih mencari identiti diri, ingin mencuba sesuatu yang baharu, masih belum kenal erti realiti sebenar. Apa yang mereka bayangkan hanyalah keindahan cinta Islamik seperti yang tergambar di dalam novel. 

Kalau bukan salah NCI dan Remaja, apa masalah sebenarnya? 

KOMPAS sebagai pemandu dalam perjalanan 


Sepertimana kita memerlukan panduan makanan kesihatan untuk mendapatkan hasil yang terbaik bagi tubuh badan, demikian jugalah halnya dengan panduan bahan bacaan. Mungkin, NCI ini adalah sebagai ‘counter attack’ kepada NC yang sedia ada di pasaran supaya golongan peminat novel ini khsusnya golongan dewasa memahami erti cinta yang berlandaskan syariat Islam, bukan seperti acuan Sekular yang menghalalkan segalanya demi matlamat. Itulah yang saya lihat setakat ini tentang tujuan kewujudan NCI bahkan ia berperanan besar dalam merubah pemikiran dan gaya berfikir golongan sasaran daripada non-Islamik kepada yang lebih Islam. 

Cumanya, apabila bahan bacaan ini ‘terlepas’ ke tangan golongan remaja yang pada masa yang sama masih bertatih mencari erti cinta yang sedang bermain di dalam jiwa mereka. Maka, bertemulah mereka dengan ‘kaedah terbaik’ untuk mengekspresikan cinta mereka. Ditambah lagi dengan kemunculan poster-poster islamik yang sedikit sebanyak mempengaruhi golongan remaja ini, lalu menjadilah Cinta Islamik mereka. Daya imaginasi para remaja yang amat tinggi membuatkan mereka berfikir tentang keindahan CINTA semata seperti yang mereka lihat di kaca televisyen kemudian dibentuk mengikut acuan Cinta Islamik yang mereka bayangkan... 

Golongan remaja ini seharusnya diberikan KOMPAS sebagai panduan mereka untuk memilih bahan bacaan yang sesuai dengan usia mereka. Peranan ibu bapa amat penting dalam hal ini kerana pembentukan anak-anak itu bermula daripada rumah walaupun sebahagian besar masa anak-anak ini dihabiskan di sekolah pada waktu pagi demikian juga ibu bapa yang bekerja sehingga lewat petang baru balik ke rumah. 

Sebab itu kenapa kita selalu melihat ada anak-anak yang tidak pernah terlibat dengan masalah cinta. Mungkin kerana pembentukan awal yang diberikan oleh ibu bapa menjadikan anak-anak mereka lebih cenderung kepada perkara lain selain daripada berminat tentang cinta. Namun, harus saya akui di sini bahawa ada kalanya golongan remaja ini masih terlibat dengan masalah cinta walaupun mereka telah dididik di rumah adalah disebabkan oleh faktor persekitaran dan rakan sebaya. 

KOMPAS awal adalah Ibu Bapa. Mencorakkan pemikiran anak-anak mereka melalui bahan bacaan. Itulah jalan yang terbaik. 



Kesimpulan 

Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Membentuk pemikiran anak-anak biarlah dari usia kecilnya.” 

Bukan salah NCI, bukan pula salah Remaja. Yang perlu diperbaiki adalah bagaimana untuk memastikan golongan remaja ini mendapat bahan bacaan yang sepatutnya bagi mereka, namun diakui, ia amat payah. 

Kenapa saya menulis artikel ini? Kerana pada awalnya saya menyalahkan NCI itu sendiri sebagai penyebab kepada berlakunya masalah Cinta Islamik dalam kalangan remaja. Tetapi, setelah mengamati keadaan yang berlaku, barulah saya faham bahawa kedua-duanya tidak salah. Ada yang perlu diperbaiki di antara keduanya. Dalam hal ini, saya melihat, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka mendapat input yang sepatutnya berdasarkan Kompas yang mereka jadikan panduan. 

Saya kagum dengan remaja yang pada usia mudanya sudah begitu bersemangat berjuang untuk agama. Berbeza dengan saya sendiri yang agak lama terus hanyut dalam arus Cinta Monyet yang akhirnya membawa kepada beberapa siri kegagalan dan mengecewakan...

Saturday, 19 April 2014

Sifat Kucing - Kepercayaan dan Kesetiaan

Entri kali ni pula berkisar tentang SIFAT kucing yang saya nampak sepanjang saya melalui kehidupan bersama dengan kucing-kucing yang ada di sekeliling saya sendiri. Kiranya ni semua pengalaman saya sendiri la.

Antara sifat kucing yang akan saya kongsikan secara ringkas dalam entri kali ini adalah;

1. Sense of TRUST
2. Sifat yang TIDAK SETIA
3. Kucing Hilang?

Friday, 18 April 2014

Teknik mendidik Kucing


Entri kali ni akan berkisar tentang Kucing dan cara untuk mendidik kucing. =)

Kalau sebut pasal KUCING, saya ni bukan juga pakar sangat tapi boleh la sikit-sikit.

Teknik ni saya sudah poskan di dalam FB tapi kali ni saya gabungkan sekali teknik yang saya boleh kongsikan yang saya rasa ramai yang sudah tau pasal ni. Tapi sebelum tu, perkenalkan dulu kucing yang paling saya sayangi, namanya AKIN. =)

Tapi sebelum saya masuk ke UIA Gombak, AKIN mati akibat kemalangan pada malam hari. Dilanggar sewaktu dia melintas jalan raya. Mau buat macamana. Sudah ketentuan si Akin akan pergi.

Ok, berbalik kepada fokus pada kali ini, berkenaan 'didikan' yang paling asas untuk peminat kucing sekalian terapkan kepada kucing masing-masing, ada dua;

  1. Kaedah mendidik kucing yang suka berak merata tempat
  2. Kaedah menghentikan pergaduhan sesama kucing yang tinggal di dalam rumah.

Kucing suka BERAK MERATA?

Ok, salah satu sifat kucing yang kita perlu tahu adalah kucing mudah DILATIH terutama sekali anak kucing. Ini adalah kaedah TRADISIONAL yang saya boleh kongsikan dan InsyaAllah berjaya dengan usaha dan kesungguhan.

Tekniknya mudah saja;

1.
Ambik najis kucing yang dia sudah 'buang' di mana-mana tempat di dalam rumah. Kemudian letak di luar rumah atau di tandas. Zaman moden ni ramai orang latih kucing dorang berak dalam tandas especially yang tinggal di kawasan perumahan. Memang canggih la

2.
Perhatikan kucing anda kalau dia mau berak. Selalunya kita akan nampak simptom2 awal, kucing tu menghidu-hidu dan tangannya mulai mencakar-cakar lantai. Haaa, masa tu, angkat kucing anda kemudian letak dorang di tempat kita letak najis tu tadi. Bagi dorang hidu lama-lama.

3.
Mesti dia berak di situ! Percayalah. Lepas tu mesti kucing tu buat-buat manja dengan berlari sambil melompat meninggalkan 'sisa kumbahan' yang sudah dia buang. haha ~

4.
Tapi teknik ni kena ulang berkali-kali sampai kucing tu pandai berak di tempat yang kita sudah ajar dia. Dalam 1 minggu macam tu.

5.
Alhamdulillah, berjaya. Well Done !

Tomot, Ciko dan Oren sedang mendengar briefing. Buat-buat tidur pula tu. Masa ni umur dorang masih dalam lingkungan 3-4 bulan. Masih boleh dilatih. Bak kata pepatah "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya."

Kenapa kucing berGADUH sesama sendiri?

Sebab utama adalah kerana BAU mereka tidak sama.

Solusinya senang jak. Mandikan kucing-kucing yang suka bergaduh tu dengan menggunakan SYAMPU mandian yang SAMA. Kompom lepas tu dorang tidur sama-sama bahkan saling menyayangi seperti adik beradik.

Percaya atau tidak? Saya sudah melakukannya dan ternyata ia BERJAYA.

CIKO dan TOMOT saya temui pada hari yang berbeza. Mula-mula dorang gaduh jak. Tapi lepas saya mandikan sekali, hmmmm... tengokla apa dorang buat tu. 

Rasanya setakat itu saja la perkongsian tentang teknik mudah mendidik kucing kesayangan. =) Dan ini adalah pengalaman saya sendiri yang mana kedua-dua kaedah ini berjaya.

Wednesday, 16 April 2014

Erti Sahabat

Entri kali ini akan membicarakan tentang apa dia SAHABAT menerusi kaca mata penulis sendiri.

Setiap orang mempunyai definisi sahabat mereka berdasarkan pengalaman yang mereka lalui bersama insan yang mereka anggap sebagai sahabat. Maka, definisi untuk sahabat itu juga berbeza-beza mengikut orangnya.

Apabila ditanyakan kepada setiap orang, tentang kefahaman mereka berkenaan sahabat, sudah pasti akan kedengaran ayat-ayat yang selalu kita dengar dan yang paling femes, antaranya;

SAHABAT ibarat PERMATA di dalam timbunan KACA. Kilauannya sama namun Kualitinya berbeza

SAHABAT itu sentiasa ada di sisi saat kita DERITA namun ia tiada saat kita BAHAGIA

SAHABAT adalah TEMAN tika SUSAH dan SENANG

SAHABAT adalah insan yang paling HAMPIR dan paling MEMAHAMI diri kita

Mereka yang menerima diri kita SEADANYA

dan seterus-seterusnya.....

Eya, itulah antara definisi yang diafahami oleh mereka yang sedang menjalani kehidupan bersahabat. Lebih-lebih lagi golongan remaja yang kadang kala lebih memerlukan penjelasan yang sebenar-benarnya berbanding memahami perkara itu dengan penilaian mereka sendiri. Mengharapkan orang yang mereka anggap sebagai sahabat mengatakan kepada mereka, "Kaulah SAHABATKU."

Awal Pencarian


Saya mulakan penceritaan saya kali ini dengan pengembaraan saya mencari seorang SAHABAT.

Seperti orang lain yang ingin memiliki seseorang yang bergelar SAHABAT atau KAWAN BAIK a.k.a. BESTFRIEND, saya terus berusaha mencari insan itu. Bermula dari tingkatan 1 sehingga sekarang.

Kesilapan saya pada ketika usia remaja adalah memahami erti SAHABAT berdasarkan PENJELASAN daripada KATA-KATA sahaja. Bukan pengertian yang sebenar. Eyalah, masih belum matang lagi kan, budak-budak lagi. Semuanya perlu dijelaskan sehinggakan perkara kecil sekalipun perlu ditanya "kau kawan aku ka?" @ "kita sahabat kan?" dan seterusnya....

Diringkaskan cerita, 3 kali saya menganggap 3 orang yang berbeza sebagai sahabat saya, tetapi ketiga-tiganya mengecewakan dan menghampakan saya dengan sikap mereka yang hanya pandai bermain kata-kata. Sekali lagi, saya silap kerana tidak menyedari, bahawa usia remaja, bukan usia yang sepatutnya perlu terus serius dalam setiap perkara termasuk dalam isu persahabatan. Mulanya cakap bersahabat tetapi sampai suatu masa, dikhianati persahabatan itu.

Cis ! ... Ndak apa la, zaman kanak-kanak memang macam tu. =)

Tapi yang peliknya, orang yang saya benci dan selalu saya kenakan, tanpa disangka-sangka telah menjadi seorang sahabat saya yang paling baik yang mana kebaikan itu terlalu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Memang pelik, sesuatu yang tidak disangka-sangka walaupun sebelum saya meyedari bahawa dia adalah sahabat yang terbaik, terlalu banyak salah faham dan pergaduhan yang telah kami lalui namun segalanya mampu diatasi.

Demikian juga pertemuan saya dengan seorang sahabat perempuan buat pertama kalinya dalam hidup yang mana kami seringkali menjadi bahan gosip rakan-rakan sedangkan sesama kami tidak ada pun timbul perasaan yang istimewa melainkan istimewa sebagai seorang sahabat kepada sahabatnya. Alhamdulillah, kini dia telah pun mendirikan rumah tangga. =)

Alhamdulillah, saya menempuhi pengembaraan mencari sahabat sejati ketika zaman remaja dengan penuh cabaran yang mana tidak sia-sia kerana sehingga hari ini persahabatan itu kekal.

Zaman Pasca-Remaja

Serasanya, usia 20-an ini bukanlah masa untuk mengenali apa itu erti persahabatan sebab mengungkapkannya pun sudah terlalu rumit. Bukan rumit apa, tapi kepada siapa gelaran itu ditujukan itu yang menjadi persoalan.

Zaman Remaja mungkin boleh lagi berjanji setia menjadi sahabat kerana ketika itu semangat setiakawan itu terlalu tinggi dan kebanyakannya memahami erti sahabat itu sendiri berdasarkan kata-kata, mudah untuk diluah.

Tetapi tidak pada usia selepas Remaja kerana yang menilainya adalah hati, bukan lagi bergantung kepada janji setia seperti zaman sebelumnya.

Mereka yang masih remaja, hargailah zaman-zaman itu yang mana segala yang rahsia dan kesamaran tidak menjadi bebanan apabila masih boleh diungkap dan dijelaskan dengan kata-kata. Kerana sesampainya usia dewasa, ketika itu, mulut akan menjadi berat untuk mengungkapkan sekalipun perkataan SAHABAT kerana ia terlalu mahal untuk diberikan kepada orang lain yang mana tarafnya setanding dengan CINTA.

Andai ditanyakan kepada saya, "apa yang kau faham tentang sahabat dan persahabatan?"

Mungkin, saya sendiri tidak akan menjawabnya, kerana jawapan itu terlalu subjektif dan jawapan itu juga berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ada orang yang menganggap seseorang itu sebagai sahabatnya tetapi tidak orang tersebut dan juga sebaliknya. Demikian pengalaman mengajar bahawa persahabatan itu bukan bergantung kepada kata-kata semata atau anggapan yang ada dalam benak fikiran.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Persahabatan itu ada kalanya bergantung kepada 'chemistry' yang ada pada dua orang insan. Yang mana wujudnya tautan hati sesama mereka. Kenapa persahabatan itu tidak menjadi?

Kerana apabila hanya sebelah pihak sahaja yang berperanan sedangkan pihak yang satu lagi tidak endah. Bertepuk sebelah tangan manakan berbunyi...

Maka, apa dia erti SAHABAT sebenarnya?

Tanyakan pada diri anda sendiri, apa ukuran yang anda letak untuk seseorang 'layak' menjadi SAHABAT anda... ~

Jawapan itu, ada di dalam hati anda, anda yang merasakannya.

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts