Sunday 6 January 2019

Kitakah Yang Memilih?

Agak lama tidak menulis untuk entri blog namun kali ini terdetik di hati untuk mencoret sesuatu memandangkan 2019 baru saja bermula.

Sebelum aku meneruskan penulisan ini, suka aku kongsikan lagu yang dinyanyikan oleh Bee Gees dengan tajuknya "Fanny (Be Tender With My Love)". Lagu ni walaupun lagu lama tapi rentaknya yang slow dan bersahaja membuat hati sedikit tenang apatah lagi kalau dipasang ketika menikmati keindahan matahari terbenam di tepi pantai.



Begitu banyak pengalaman terkumpul sepanjang menempuh kehidupan yang semakin hampir dengan angka 30. Entah mengapa aku lebih suka berbicara tentang orang, manusia yang pernah hadir dalam hidupku ini. Rangkuman-rangkuman pengalaman itu sememangnya memberi makna sehingga aku sendiri terfikir adakah aku yang menentukan segalanya atau ia adalah di luar kawalanku, orang putih cakap "beyond our control".

Penulisan ini mungkin kelihatan terlalu sentimental atau beremosi tapi itulah cara aku menulis apabila berbicara tentang kehidupan sejak aku bermula seawal darjah 6, 16 tahun yang lalu. Menulis surat cinta kepada insan yang dicintai. Ah! Cinta kanak-kanak yang hanya ada angan-angan tetapi dengannya aku mampu menulis ayat-ayat puitis, memasukkan jiwa ke dalam penulisan sehingga ada yang merasakan aku 'jiwang' orangnya. Lantaklah apa yang diperkatakan orang, yang penting aku tahu bahawa menulis dengan jiwa adalah salah satu kelebihanku. Bak kata pepatah, tulisan yang datang dari jiwa akan turun ke jiwa jua.

Baiklah, terlalu panjang pula pengenalannya. Maklumlah sudah bertahun tidak menulis. Hahaha

Akukah yang Memilih?

Persoalan ini ternyata masih bermain dalam kepala. Biar aku mulakan dengan kisah pertemuanku dengan beberapa orang yang jika aku diberi pilihan, aku tidak ingin bertemu dengan mereka kerana aku benci dengannya. Benci dengan peristiwa hitam yang membekas dalam sejarah hidupku. Ketepikan pertemuan yang akhirnya terpisah atas dasar cinta kerana ia sememangnya pilihan sendiri yang tidak perlu dipersoalkan walaupun segala pelaburan atau investment sia-sia belaka.

Bukan senang untuk mengarang surat yang penuh dengan perasaan dan pada akhirnya surat-surat itu tertuju kepada jodoh orang lain. Ah!. Memilih tetapi terpaksa akur kepada kehendak takdir. Begitulah kisah dahulu kala sebagai selingan. Meskipun tidak menjadi, ia tetap menjadi pengalaman manis. Hahaha!

Kembali kepada persoalan tadi. Adalah beberapa orang manusia yang hadir dalam hidup ni tanpa dijemput dan tidak pula dipinta. Awalnya datang membawa matlamat untuk menjalin ikatan perkenalan. Iya, memang selesa namum sebaik menghampiri fasa-fasa kritikal, ternyata kedatangan mereka itu membawa kepentingan peribadi.

Contohnya, aku pernah berkenalan dengan seorang yang senegeri denganku. Tidak dapat digambarkan betapa perasaan teruja bersahabat dengan orang yang boleh berkongsi kisah negeri sendiri. Dipendekkan kisah, dia menipuku. Menghancurkan kepercayaan yang aku berikan kepadanya atas dasar saudara senengeri. Hampanya perasaan dikhianati itu lebih teruk dari hampanya perasaan putus cinta!

Kemudian aku bertemu pula dengan orang yang serupa dengannya. Memohon bantuan dariku walaupun keberatan dan di luar kemampuanku, aku usahakan tetapi akhirnya bantuan itu disiakan. Bukan pula aku mengharap balasan, tidak. Aku melakukannya dengan kerelaan namun, sekali kau berjanji, janganlah pula dikhianati kerana nilai janji yang dikhianati itu tidak boleh dibayar dengan jutaan ringgit sebagaimana kepercayaan bukan untuk dijual beli.

Dan yang lagi menyakitkan apabila mereka yang dekat dengan hidup ini tergamak memperlakukanku sedemikian rupa. Aku mulai bertanya, kenapa aku bertemu dengan manusia-manusia sebegini? Iya, pada satu sisi, aku boleh nyahkan golongan yang langsung tidak ada pertalian darah denganku dari hidup ini sebagaimana sekarang aku sampahkan mereka tetapi bagaimana pula dengan yang bersaudara denganku? TIDAK! Aku tidak punya pilihan itu.

Bila direnung kembali, sememangnya Dia ingin aku mengambil iktibar bahawa dalam hidup ini sudah pasti ada pengkhianatan dan sebagaimana aku telah merasai sakitnya dikhianati, maka tidak seharusnya aku melakukan hal yang sama terhadap orang lain. Dan aku mula mengerti, mengapa ada insan yang memilih untuk hidup sendiri. Mungkin dia tidak mahu melalui kekecewaan kerana sudah puas dikhianati dan bersendiri itu lebih baik baginya. Ah! Kuat sungguh jiwanya. Tapi sebenarnya hidup bersendirian itu menenangkan hati daripada gundah gulana.

Dahulu, aku terlalu bercita-cita besar. Mengharapkan setiap pertemuan akan kekal. Kini aku telah belajar dari pengalaman bahawa tiada pengharapan itu lebih baik kerana ia tidak menyakitkan sekiranya pertemuan itu berakhir dengan perpisahan. Manusia tanpa perasaan, mungkin? Tapi tidaklah sampai langsung tidak ada perasaan. Yang tidak ada hanya harapan.

Merekakah Yang Memilih?

Ada pula dalam hidup ini, aku memilih untuk meneruskan kehidupan dengan beberapa insan yang dekat di hati sama ada atas dasar kasih, atau kagum dengannya yang aku rasakan mereka lebih dekat dan memahamiku berbanding ahli keluarga sendiri yang hanya tahu menghukum dan menilaiku berdasarkan kepada yang mereka nampak di depan mata. Kasih bukan semestinya cinta kepada kekasih semata.

Sepanjang melalui perjalanan hidup ini, ramai yang 'gugur' dari pandangan meskipun aku berusaha sedaya mungkin mencelikkan mataku ke atas mereka. Ada yang terputus selepas mereka membina kehidupan baharu dan ada pula yang lenyap ditelan arus masa yang terus maju ke hadapan tanpa memberi ruang walau seketika untuk berhenti. Bukan pula bermakna memutuskan silaturrahim kerana jalinan itu masih ada cuma tidak seperti sebelum-sebelumnya kerana ada hal-hal yang membataskan kita dalam urusan kehidupan.

Hilangnya permata yang berharga ini juga mengajarku bahawa bukan semua yang kita mahukan akan terus berada dalam genggaman dan aku juga berkemungkinan melakukan hal yang sama terhadap orang lain walaupun mungkin bukan atas pilihanku sendiri. Macam yang aku sebutkan tadi, lenyap ditelan arus masa. Tinggal kenangan dan tiada pula penyesalan kerana bukan aku yang menentukan.

Dialah Yang Menentukan

Pada akhirnya, aku akui bahawa semua yang terjadi adalah ketentuan dari-Nya. Sedang aku memikir akan semua ini sambil menscroll Facebook, terjumpa post ni;



Maka terjawab sudah segala persoalan. Datangnya tidak diundang, perginya tidak dirancang. Begitulah lumrah kehidupan. Sebagai manusia biasa, aku hanya mampu pasrah dengan kehendak-Nya dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Aku cuba meraikan kedatangan setiap orang tanpa menyimpan sebarang harapan untuk mereka 'tinggal' supaya tiada lagi kekecewaan.

Namun pada masa yang sama, aku bersyukur kepada-Nya kerana dalam keadaan yang begitu rencam, dia letakkan insan-insan yang sedia mendokong dan menarikku dari terus terjunam ke dalam lembah dugaan yang hampir membuatku berputus asa dengan kehidupan. Mereka ini jugalah yang menjadi sumber kekuatan, pemangkin semangat untuk terus berjuang dalam hidup dan aku akui, mereka juga tidak selamanya akan terus bersama-samaku kerana sebagai manusia biasa, aku tidak mampu merencanakan kehendak takdir.

Yang ada padaku hanya harapan supaya mereka akan terus berada di sisi dan sekiranya Dia mengujiku dengan 'menarik' mereka, maka berikan aku kekuatan untuk menghadapinya.

Kita memilih tetapi Dia menentukan.

p/s: aku menjangkakan akan ada yang tersalah faham dengan penulisan ini tapi aku faham, setiap orang punya pemahaman dan penilaian yang berbeza maka aku memilih untuk memberi ruang kepada pembaca untuk membuat kesimpulan sendiri.

1 comment:

  1. The King Casino: The New King & The World of Gaming
    The King septcasino Casino is the new place where the real money worrione gambling is legal in https://jancasino.com/review/merit-casino/ Florida and Pennsylvania. gri-go.com We love the new casino. ventureberg.com/ We've got some great

    ReplyDelete

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts