Sunday 27 April 2014

Novel Cinta ke Novel Cinta Islamik dan REMAJA

Seseorang itu adalah apa yang dia baca, sama seperti pepatah inggeris “you are what you eat”. Bahan bacaan secara logiknya merupakan bahan makanan kepada otak bahkan bahan bacaan itulah yang akan membentuk cara seseorang itu berfikir. Sebab itu kenapa kita dapat melihat kini bermacam ragam dan cara orang berfikir dan memberikan pendapat mereka. Semuanya bergantung kepada bahan bacaan yang telah mereka hadam di dalam kepala mereka. 

Itu sebagai muqaddimah sebelum saya meneruskan penulisan ke isi utama. Macam buat karangan SPM pula, hehehe. 

Ok lah, ndak mau terlalu serius sangat, sekadar membuat penulisan santai yang dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat, tidak terlalu akademik dan seperti biasa, ianya bersumberkan pendapat peribadi dan sedikit input yang berkaitan dengan pengalaman penulis sendiri.

Kali ini, terdetik di dalam benak fikiran untuk menulis tentang NOVEL yang kini menjadi kegilaan golongan muda remaja, bahkan telah menjadi hobi bagi sebahagian orang a.k.a. peminat novel... 

Apa dia yang dimaksudkan dengan NOVEL? Hahaha, carilah sendiri. Malas mau bagi definisinya dalam ni. :p 

Ok lah, terus kepada fokus utama iaitu Novel Cinta ke Novel Cinta Islamik...? 

Yang mana satu pilihan anda? 

Jawapannya adalah bergantung kepada anda sebenarnya orang yang bagaimana. Kalau ada latar belakang pendidikan Islam, maka secara umumnya akan memilih *NCI, manakala yang sekadar belajar di sekolah biasa, maka NC yang akan menjadi pilihan. Tapi ini secara umum saja. Tidak sepenuhnya seperti apa yang saya nyatakan. Sekali lagi, bergantung kepada siapa anda... Misteri ~ 

[*NCI=Novel Cinta Islamik, NC=Novel Cinta] 

Antara Novel terbitan Alaf 21 yang terlaris

Membentuk Cara Berfikir 

Kenapa pena lebih tajam daripada mata pedang? Rasanya semua ada jawapan masing-masing tetapi kalau saya jawab pula macam ni, sebab mata pedang hanya mampu menamatkan sebuah kehidupan tetapi mata pena dapat memulakan sebuah kehidupan, bukan seorang, tetapi ramai. Bergantung kepada jumlah mereka yang membaca penulisan tersebut dan sejauh mana mereka terpengaruh dengan penulisan tersebut. Bahan makanan kepada otak akan membentuk cara berfikir seseorang. Sebab itu kenapa ada orang Islam sendiri yang menulis sirah para Sahabat melalui kaca mata periwayatan Syi’ah. Hah, isu ni akan dibahaskan pada penulisan yang lain nanti, insyaAllah... 

Lalu, apa yang menjadi kerisauan tentang novel ini sebenarnya? 

Kita kembali bertanya, tentang generasi pada masa akan datang... 

Kalau kita ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah generasi mudanya masa ini.” 

Kalau generasi mudanya kini hanyut dengan cerita-cerita cinta, maka bagaimana pula masa hadapan negara kita nanti yang bakal dipimpin oleh mereka? Adakah generasi akan datang akan menjadi generasi yang ‘lembik’ dengan cintan-cintun atau bagaimana? 

Novel Cinta Islamik 


NCI yang paling popular suatu ketika dahulu
NCI kini semakin mendapat tempat di pasaran sama seperti NC yang telah sedia ada. Maka jangan hairan kalau ada sahaja budak sekolah menengah, hatta sekolah rendah terlibat dengan masalah cinta bahkan bukan budak biasa, budak sekolah agama pun tidak terlepas daripada jerat cinta monyet yang mereka istilahkan sebagai CINTA ISLAMIK. 

Kalau diikutkan, sebenarnya bukan hanya novel yang menjadi punca kepada berlakunya masalah cinta remaja atau dapat diistilahkan sebagai Cinta Monyet, media massa seperti televisyen juga merupakan penyumbang utama kepada permasalahan ini. Cumanya penulisan kali ini tertumpu kepada Novel kerana apa yang dapat diperhatikan oleh penulis sendiri rata-rata peminat novel ini akan terpengaruh kepada novel yang mereka telah baca. 

Kembali kepada persoalan Cinta Remaja yang melibatkan NCI. Pada pandangan saya sendiri, bukan salah NOVEL ataupun salah REMAJA itu sendiri apabila mereka terjebak ke dalam kancah Cinta Islamik ini tetapi ia berlaku kerana keadaan yang berlaku pada masa ini. Kewujudan NCI menjadi tumpuan para remaja untuk membentuk Cinta Monyet mereka supaya kelihatan ISLAMIK dan diterima oleh orang lain sebagai Cinta Diterima, bukan ‘Cinta Terlarang’. Jiwa remaja yang masih mencari identiti diri, ingin mencuba sesuatu yang baharu, masih belum kenal erti realiti sebenar. Apa yang mereka bayangkan hanyalah keindahan cinta Islamik seperti yang tergambar di dalam novel. 

Kalau bukan salah NCI dan Remaja, apa masalah sebenarnya? 

KOMPAS sebagai pemandu dalam perjalanan 


Sepertimana kita memerlukan panduan makanan kesihatan untuk mendapatkan hasil yang terbaik bagi tubuh badan, demikian jugalah halnya dengan panduan bahan bacaan. Mungkin, NCI ini adalah sebagai ‘counter attack’ kepada NC yang sedia ada di pasaran supaya golongan peminat novel ini khsusnya golongan dewasa memahami erti cinta yang berlandaskan syariat Islam, bukan seperti acuan Sekular yang menghalalkan segalanya demi matlamat. Itulah yang saya lihat setakat ini tentang tujuan kewujudan NCI bahkan ia berperanan besar dalam merubah pemikiran dan gaya berfikir golongan sasaran daripada non-Islamik kepada yang lebih Islam. 

Cumanya, apabila bahan bacaan ini ‘terlepas’ ke tangan golongan remaja yang pada masa yang sama masih bertatih mencari erti cinta yang sedang bermain di dalam jiwa mereka. Maka, bertemulah mereka dengan ‘kaedah terbaik’ untuk mengekspresikan cinta mereka. Ditambah lagi dengan kemunculan poster-poster islamik yang sedikit sebanyak mempengaruhi golongan remaja ini, lalu menjadilah Cinta Islamik mereka. Daya imaginasi para remaja yang amat tinggi membuatkan mereka berfikir tentang keindahan CINTA semata seperti yang mereka lihat di kaca televisyen kemudian dibentuk mengikut acuan Cinta Islamik yang mereka bayangkan... 

Golongan remaja ini seharusnya diberikan KOMPAS sebagai panduan mereka untuk memilih bahan bacaan yang sesuai dengan usia mereka. Peranan ibu bapa amat penting dalam hal ini kerana pembentukan anak-anak itu bermula daripada rumah walaupun sebahagian besar masa anak-anak ini dihabiskan di sekolah pada waktu pagi demikian juga ibu bapa yang bekerja sehingga lewat petang baru balik ke rumah. 

Sebab itu kenapa kita selalu melihat ada anak-anak yang tidak pernah terlibat dengan masalah cinta. Mungkin kerana pembentukan awal yang diberikan oleh ibu bapa menjadikan anak-anak mereka lebih cenderung kepada perkara lain selain daripada berminat tentang cinta. Namun, harus saya akui di sini bahawa ada kalanya golongan remaja ini masih terlibat dengan masalah cinta walaupun mereka telah dididik di rumah adalah disebabkan oleh faktor persekitaran dan rakan sebaya. 

KOMPAS awal adalah Ibu Bapa. Mencorakkan pemikiran anak-anak mereka melalui bahan bacaan. Itulah jalan yang terbaik. 



Kesimpulan 

Melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Membentuk pemikiran anak-anak biarlah dari usia kecilnya.” 

Bukan salah NCI, bukan pula salah Remaja. Yang perlu diperbaiki adalah bagaimana untuk memastikan golongan remaja ini mendapat bahan bacaan yang sepatutnya bagi mereka, namun diakui, ia amat payah. 

Kenapa saya menulis artikel ini? Kerana pada awalnya saya menyalahkan NCI itu sendiri sebagai penyebab kepada berlakunya masalah Cinta Islamik dalam kalangan remaja. Tetapi, setelah mengamati keadaan yang berlaku, barulah saya faham bahawa kedua-duanya tidak salah. Ada yang perlu diperbaiki di antara keduanya. Dalam hal ini, saya melihat, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka mendapat input yang sepatutnya berdasarkan Kompas yang mereka jadikan panduan. 

Saya kagum dengan remaja yang pada usia mudanya sudah begitu bersemangat berjuang untuk agama. Berbeza dengan saya sendiri yang agak lama terus hanyut dalam arus Cinta Monyet yang akhirnya membawa kepada beberapa siri kegagalan dan mengecewakan...

No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts