Tuesday 11 April 2017

Travelog Seorang Ustaz di Tomanggong, Kinabatangan Sabah

Minggu lepas saya berpeluang untuk bertemu dengan seorang ustaz di SMK Puncak Alam. Seorang anak kelahiran Selangor yang telah berkecimpung di dalam dunia pendidikan selama lebih kurang 30 tahun. Pada awal pertemuan, saya menyangka beliau adalah seorang Sabahan kerana dialek yang beliau gunakan serupa orang Bugis. Rupanya, jangkaan saya meleset.

Kemahiran beliau berdialek Sabah cukup mengagumkan sampaikan saya ketawa sendirian apabila mengenangkan perbualan kami. Pertemuan pertama yang membuatkan saya inginkan pertemuan berikutnya.


SMK Puncak Alam

Tomanggong Era 1990-an


Pengalaman yang beliau kongsikan ini tidak pernah saya dengari sepanjang saya berada di Sabah. Mungkin disebabkan ini kali pertama saya bertemu dengan seorang pendidik yang pernah mengajar di kawasan tersebut. Kisahnya menarik dan secara peribadi saya merasakan ia wajar dikongsikan kepada warga Sabahan yang lain.

Image result for tomanggong

Terletak di daerah Kinabatangan, Tomanggong sebahagian besarnya adalah kawasan ladang kelapa sawit dan antara perkara yang membuatkan saya tertarik kepada Tomanggong ini adalah kewujudan sebuah landasan kapal terbang yang kini sudah tidak beroperasi.

*Akan cuba mencari ruang kesempatan untuk menulis tentang Tomanggong pada entri yang akan datang.

Lapangan Terbang Tomanggong

Beliau mengajar di sekolah rendah pada tahun 1990-an kemudian berpindah ke Lahad Datu 3 tahun berikutnya sebelum menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda. Pengalaman paling manis bagi beliau adalah ketika mengajar di Tomanggong. Lokasinya yang terletak di kawasan pedalaman, membuatkan beliau dekat dengan penduduk kampung.

Setiap hujung minggu, beliau tidak akan keluar ke pekan kerana lokasinya yang terlalu jauh. Sebaliknya beliau meluangkan masa bersama penduduk kampung untuk memancing ikan.

Inisiatif untuk Anak-anak Tomanggong


Sebagai seorang 'Ustaz', beliau memikul tanggungjawab yang agak besar di dalam kampung tersebut. Sekolah di tempat beliau mengajar hanya ada sesi pagi. Keadaan tersebut dimanfaatkan oleh beliau untuk mewujudkan Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) bagi mengisi masa lapang anak-anak kampung pada waktu petang. Kelas tersebut berlanjutan sehingga ke saat akhir beliau berada di Tomanggong dan sepertinya, KAFA itu tidak diteruskan lagi selepas pemergian beliau.

Hubungan yang rapat dengan penduduk kampung juga terserlah melalui interaksi antara beliau dengan anak-anak muridnya. Memandangkan beliau masih bujang dan tinggal di rumah guru ketika itu, rumah beliau sering dikunjungi oleh anak-anak muridnya sehinggakan ada sistem giliran.

"Siapa yang sudah datang minggu ni, minggu depan ndak bole datang lagi. Orang lain pula" dalam dialek Bugis beliau. Dalam seminggu, ada 5 orang murid yang akan tidur d rumah beliau dan ia agak merisaukan bila masuk soal makan malam. Secara logiknya, kalau makan telur, setiap orang akan dapat sebiji tapi dalam hal ini, 2 biji telur untuk 5 orang!

Image result for telur dadar
Dibelah Lima

"Ndak apa cigu, kami goreng telur dadar belah lima, makan sama sambal" dan cukup. Memang cukup! Mungkin demikianlah cara orang tua mereka mendidik anak-anak dalam soal makan minum. Bukan berkira tetapi apa yang saya dapat simpulkan, tinggal di kawasan pedalaman membuatkan mereka tidak punya banyak pilihan berbanding mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Disebabkan itu juga, kebanyakan penduduk kampung tersebut mampu menunaikan Haji meskipun berpendapatan RM400 sebulan sebagai pekerja di ladang. Berbanding dengan kita yang bergaji besar tapi belum sampai-sampai lagi ke Mekah.

Seorang Imam untuk Satu Kampung


Beliau juga ada berkongsi pengalamannya tentang adat orang kampung dalam soal amalan agama. Ada sekali beliau dijemput untuk datang kenduri. Sesampainya di rumah, beliau dihidangkan dengan jamuan ringan di luar rumah. Tidak lama kemudian, beliau dan orang lain dijemput masuk untuk hidangan berat.

Beliau hairan, katanya ada kenduri tahlil tapi bacaannya tiada. Dinyatakan kepada beliau bahawa hanya ada seorang imam yang akan membaca tahlil di atas hidangan dalam satu talam di dalam bilik. Jamuan akan dihidangkan selepas imam selesai dengan bacaannya.

Beliau kemudiannya bertemu dengan pak imam. Berbincang dan memberi pandangan. "Imam, bayangkan, kalau Imam suda tiada, macamana orang kampung mau buat tahlil?". Imam yang bersikap terbuka dengan baik menerima cadangan beliau untuk mengetuai bacaan tahlil untuk memudahkan orang lain belajar membacanya supaya di kemudian hari, kalau Imam sudah tiada, ada orang lain yang boleh gantikan.

Makan tahun juga sebenarnya beliau mengambil pendekatan menasihati penduduk kampung berkenaan soal amalan bacaan tahlil dan inisiatif beliau ternyata memberi manfaat kepada orang ramai.

Pengalaman yang Patut Diabadikan dalam Penulisan


Saya kira, pengalaman beliau sepanjang berada di Tomanggong sangat berharga untuk generasi akan datang sebagaimana saya sebagai anak Sabahan sendiri tidak pernah melalui pengalaman yang sedemikian. Kisah yang perlu diabadikan dalam penulisan supaya generasi akan datang dapat membaca tentang kampung mereka sebelum mereka dilahirkan.

Saya pasti ada banyak lagi pengalaman beliau yang wajar dikongsi untuk kebaikan bersama. Semoga ada kesempatan bagi saya untuk mengaut sedikit sebanyak pengalaman beliau yang berharga sepanjang di bumi Sabah.

InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts