Wednesday 21 June 2017

6 Perkara Utama Yang Perlu Diberikan Perhatian di dalam Resumé Anda

Ramai yang boleh menyediakan resume tetapi tidak semua resume menepati ‘piawaian’ yang dikehendaki oleh majikan.



Mencari pekerjaan yang diimpikan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi dalam dunia kini yang penuh dengan persaingan. Sebelum memulakan pencarian pekerjaan, perkara pertama paling penting yang perlu dipersiapkan adalah resumé.

Apakah perkara yang perlu ada dalam resumé sebagaimana yang dikehendaki oleh majikan?

 

1. Malumat Diri


Ada orang yang bersemangat tinggi meletakkan hampir semua maklumat berkaitan diri termasuklah agama, bangsa, umur, bahkan status perkahwinan!. Ianya tidaklah salah tetapi dalam bahagian ini, adalah lebih baik memberikan maklumat yang sekadarnya sahaja kerana maklumat yang disebutkan di atas tidaklah terlalu penting. Yang perlu sebenarnya hanyalah;
  1. Nama Penuh
  2. No Kad Pengenalan
  3. Nombor Telefon
  4. Alamat Emel &,
  5. Alamat Surat Menyurat
Ya, itulah dia maklumat yang sewajarnya diletakkan dalam bahagian yang pertama ini.

 

2. Latar Belakang Pendidikan


Selepas maklumat diri, sudah tentulah maklumat berkaitan pendidikan. Ia adalah kayu ukur terhadap kelayakan seseorang berdasarkan bidang pengajian sama ada pada peringkat SPM, STPM, Diploma, Ijazah atau Sarjana bahkan Doktor Falsafah (PhD.)

Maklumat pendidikan perlulah disusun mengikut tahap yang paling tinggi dari atas ke bawah. Dan yang paling penting, bagi yang memiliki kelulusan Diploma dan ke atas, PERLU meletakkan CGPA (Cumulative Grade Point Average) atau dalam bahasa Malaysia dikenali sebagai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK).

Berikut adalah contoh susunan dalam bahagian Latar Belakang Pendidikan;
  1. Nama Institusi
  2. Tempoh Pengajian
  3. Bidang Pengajian &,
  4. PNGK
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. September 2011 – Jun 2015
Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Sains Politik) PNGK: 3.4

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Putera, Perak. Julai 2009 - Disember 2010
Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) PNGK: 3.4

Meletakkan dua tahap pendidikan tertinggi sebagaimana yang dinyatakan di atas sudah memadai melainkan jika tahap pendidikan tertinggi adalah STPM, maka perlulah diletakkan maklumat pendidikan pada tahap SPM.

 

3. Pengalaman Kerja


Selepas maklumat pendidikan, pengalaman kerja juga diambil kira oleh bakal majikan untuk menentukan kelayakan pemohon untuk menjawat jawatan tersebut. Ada jawatan yang memerlukan seseorang yang berpengalaman luas dan ada juga sebaliknya. Maklumat apa pula yang perlu diletakkan pada bahagian ini?
  1. Nama Majikan
  2. Tempoh Berkerja
  3. Jawatan di Syarikat &,
  4. Bidang Tugas
Bagi yang belum ada pengalaman berkerja khususnya graduan yang baru tamat pengajian, pengalaman berkerja sambilan boleh diletakkan pada bahagian ini sebagai maklumat sokongan kepada jawatan yang dipohon.

 

4. Aktiviti Kokurikulum


Selain akademik, aktiviti luar bilik darjah dan kuliah juga menjadi kayu ukur kepada kelayakan seseorang mengisi kekosongan jawatan yang ada. Meskipun seseorang itu terlibat dalam banyak program sepanjang pengajian di sekolah atau di universiti, tidak semua maklumat perlu dinyatakan pada bahagian ini. ELAKKAN daripada meletakkan maklumat yang tidak penting seperti ‘Ahli Kelab Kebudayaan’ atau ‘AJK PBSM’. 

Sebaiknya, nyatakan penglibatan aktiviti kokurikulum yang memberi impak yang besar seperti ‘Pengarah Program Kemasyarakatan ke Kemboja’ contohnya, program yang bersifat luar biasa dan bertaraf tinggi.

Maklumat yang perlu ada;
  1. Jawatan (dalam organisasi atau program)
  2. Nama Program
  3. Tarikh &,
  4. Bidang Tugas
Tiga atau empat maklumat sudah memadai dan ia perlulah disusun berdasarkan yang terkini.

 

5. Anugerah dan Pencapaian


Perlu jelas bahawa anugerah dan pencapaian berbeza dengan aktiviti kokurikulum. Ia adalah sesuatu yang diusahakan dan pengiktirafan rasmi daripada sekolah atau sesebuah organisasi.

Contohnya;

Anugerah Dekan 2015, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2010, SMK Seri Putera, Perak

 

6. Perujuk


Perujuk mestilah seseorang yang tidak ada pertalian kekeluargaan atau kawan. Sebaiknya letakkanlah nama Pensyarah, Guru sekolah atau Bekas Majikan. Golongan professional yang boleh memberikan maklumbalas tentang pemohon dan sudah semestinya mengenali pemohon untuk suatu tempoh yang lama.

Kaedah penyusunan maklumat pada bahagian ini juga sama dengan bahagian-bahagian yang lain;
  1. Nama Perujuk
  2. Jawatan
  3. Alamat &,
  4. Nombor Telefon
Dan, maklumkan terlebih dahulu pihak yang hendak dijadikan orang rujukan dalam resumé kerana dalam banyak kes, perujuk tidak tahu menahu tentang pemohon bahkan tidak mengenalinya! Elakkanlah perkara sebegini demi menjaga reputasi diri sebagai bakal pekerja di syarikat berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts