Monday 12 December 2016

Coretan Buat Bakal Pendidik di Negeriku

Seandainya kemerdekaan sesebuah negara itu diperoleh daripada pengorbanan perajurit yang berjuang menentang penjajah, kemerdekaan minda pula dikecapi melalui jasa guru yang seringkali diibaratkan sebagai lilin yang membakar dirinya. Coretan ini khusus ku tujukan kepada rakan-rakan sezaman denganku yang bakal bergelar pendidik nanti.

Guru sebagai Pendidik 

Mutakhir ini, kita sering dibayangi persepsi yang menyatakan peranan seorang guru bukanlah sebagai pendidik tetapi hanyalah berupa kerjaya selepas mendapatkan segulung ijazah di universiti atas desakan masa ini. Perguruan adalah profesyen yang menguntungkan dan menjamin masa hadapan seseorang berbanding dengan kerjaya dalam bidang lain. 

Berbeza dengan guru yang telah sekian lama berkhidmat, bukan sahaja sebagai pengajar, malah sebagai pendidik kepada anak bangsa tanpa mengenal erti penat lelah dan jemu. Mereka dahulunya pernah melalui zaman kesukaran hidup menanamkan azam untuk menyedarkan anak didik mereka akan peri pentingnya ilmu pengetahuan yang akan merubah kehidupan akan datang. Tapi kini, peranan mendidik itu dibebani pula dengan kerja-kerja pengkeranian seiring dengan arus kemodenan kononnya hinggakan para guru terpaksa mengorbankan masa rehat mereka bersama keluarga demi menyiapkan segala tugasan. 

Namun demikian janganlah kalian salah faham. Bukan bermakna rakan-rakan sezaman denganku yang bakal menjadi guru menyandarkan keuntungan sebagai matlamat, cuma aku ingin menyatakan kerisauan yang sekian lama ku alami. Aku percaya, niat kalian hanya untuk mendidik, tidak selain itu.

Keadaan Sekolah di Negeriku 

Wahai bakal pendidik, 

Ingin sekali aku ceritakan tentang negeriku yang mungkin akan kalian kunjungi nanti. Negeriku ini kaya dengan hasil bumi. Ada minyak sawit, petroleum, kayu balak dan bermacam sumber semulajadi tetapi hakikatnya negeri miskin, duduknya selepas Kelantan. 

Keadaan sekolahnya juga dhaif terutamanya di kawasan pedalaman sehingga ku rasakan seakan-akan berada di Afghanistan. Tetapi, negeriku ini tidak ada perang, yang ada cuma perang antara politikus untuk mendapatkan kuasa. Aku tidak tahu apa yang mereka fikirkan dengan anak-anak kecil di pedalaman ini. 

Ada sekolah di pedalaman tanpa kemudahan asas, tidak ada air bersih, tidak ada elektrik, jalan berlumpur ke sekolah, jambatan rosak dan ada yang sudah terputus, malahan bot pun tidak ada untuk menyeberangi sungai. 

Mengajar di pedalaman negeri ini jauh berbeza keadaannya dengan sekolah di ibu kota dan bandar-bandar besar yang dilengkapi infrastruktur canggih dan moden. Tahukah kalian, ada sekolah yang tidak berdinding di pedalaman negeriku ini? Ia berpunca daripada kebakaran yang memusnahkan sekolah-sekolah tersebut yang sebahagiannya diperbuat daripada papan seperti di SK Tampasak Papar, SK Gadong Beaufort, SK Simpangan Kota Marudu, SK Penimbawan Tuaran dan SK Pekan Kiulu pada tahun lalu. 
Salah sebuah sekolah tanpa dinding di Tuaran, Sabah 

Bermakna, sudah setahun anak-anak negeri ini belajar tanpa dinding dan ada yang belajar di bawah khemah. Kalau bukan kerana viralnya perkara ini di media arus perdana, mungkin bertahun-tahun jugalah anak-anak negeri ini duduk di dalam kelas tidak berdinding. Dan mungkin menteri-menteri negeri juga terus lena dengan tidur mereka sedangkan murid-murid di sekolah itu ada yang pengsan kerana kepanasan belajar di bawah kelas tanpa kipas. 

Keadaan ini mengingatkanku kepada program kelab universiti yang aku sertai beberapa tahun lalu di Pulau Sanghai Sandakan. Keadaan sekolah di pulau itu boleh dikatakan dhaif tanpa kelengkapan yang secukupnya. Barangan elektrik hanya bergantung kepada jenerator untuk berfungsi. Air tadahan hujan menjadi sumber bekalan bukan sahaja untuk sekolah, tetapi untuk seluruh pulau tersebut. 

Wahai bakal pendidik, 

Ketahuilah, sebahagian anak-anak yang tinggal di pedalaman dan kawasan yang serba dhaif ini mulai berputus asa kerana kesusahan yang mereka alami mendesak mereka untuk berkerja mendapatkan wang demi meneruskan kehidupan. Penduduk di Pulau Sanghai sendiri mengakui perkara ini dan menganggap pendidikan tidak mampu merubah kehidupan mereka melainkan hanya membawa kesusahan. Maka berakhirlah kehidupan generasi pelapis ini sebagai nelayan sepenuh masa yang merasakan menjual ikan di pasar-pasar itu lebih lumayan dengan pendapatan bulanan mencecah RM900 berbanding dengan belajar di sekolah. 

Demikian juga halnya dengan anak-anak di kawasan pedalaman yang tidak ada pendidikan, akhirnya menjadi kuli di negeri sendiri dengan pendapatan sekadar ‘cukup makan’. Aku kira, bagaimanalah mereka melalui kepayahan ini dengan meningkatnya harga barangan setelah dilaksanakan GST. 

Bagaimana hendak menjadi majikan kalau huruf dan angka pun tidak kenal, tidak pernah ke sekolah bahkan ada yang tidak tahu apa itu sekolah. Yang mereka tahu hanya kerja untuk hidup.

Harapan buat bakal Pendidik 

Tatkala anak-anak muda di kota raya dibelenggu masalah keruntuhan akhlak dan terhakisnya nilai moral akibat terdedah dengan unsur-unsur negatif dari luar, anak-anak muda di kawasan pedalaman pula dibebani dengan kesukaran mendapatkan ilmu pengetahuan. 

Sepanjang pengalaman berada di pulau Sanghai Sandakan dan di beberapa tempat di kawasan pedalaman yang pernah aku lawati, aku melihat anak-anak ini punya kesungguhan untuk terus belajar. Ada yang bercita-cita untuk menjadi jurutera, ada pula yang berimpian untuk menjadi doktor supaya dapat merawat orang kampungnya, ada pula yang sudah menyimpan harapan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. 

Sebagaimana besarnya kesukaran yang dilalui oleh mereka, besarlah juga harapan ini kepada bakal guru untuk mendidik anak-anak negeri ini sehingga menjadi orang berguna. Aku ingin melihat, anak-anak yang hidup di kawasan pedalaman dan terpinggir ini nanti akan menjadi generasi pelapis kepimpinan negara. 

Jangan dimatikan cita-cita mereka hanya kerana mereka ini anak kampung yang tidak tahu apa itu televisyen, komputer, bahkan telefon pintar. Jiwa mereka masih suci untuk dibentuk menjadi insan berguna yang kelak, akan memberi bakti kepada masyarakat dan negara. 

Ketahuilah, besarnya peranan kalian wahai bakal pendidik dalam membentuk anak-anak negeri ini menjadi insan yang berkebolehan sebagaimana aku dan rakan-rakanku diajar dan dididik oleh guru kami sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. 

Akhir kata, banyak sekali yang ingin aku ceritakan tentang kedhaifan negeriku tetapi cukuplah sekadar ini, biarlah kalian merasainya sendiri apabila kalian ditugaskan untuk berkhidmat ke pedalaman negeriku nanti. 

Sekian, 

*Diterbitkan oleh TMI pada 15-April-2015

No comments:

Post a Comment

Kitakah Yang Memilih?

Popular Posts